PUTRAJAYA: Tuduhan mengaitkan gambar program Town Hall Pekerja Gig 2025 sebagai normalisasi unsur pluralisme dan liberalisme adalah suatu niat jahat.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memaklumkan, ia juga merupakan suatu cubaan membakar sentimen keagamaan dengan niat untuk mencetuskan kegelisahan awam serta memberi persepsi yang buruk terhadap imej kementerian.
Ujar kementerian itu, tuduhan berkenaan juga telah menutup tujuan asal program tersebut untuk memperkenalkan satu undang-undang baharu bagi memberi hak dan perlindungan kepada sejumlah 1.12 juta pekerja gig dalam negara ini.
“Tindakan tersebut turut dilihat cuba menjejaskan kredibiliti penjawat awam di KESUMA yang sedang bertungkus lumus membuat persiapan bagi membentangkan Akta Pekerja Gig 2025 tidak lama lagi,” katanya pada Selasa.
Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Daerah Putrajaya terhadap seorang pengguna akaun Facebook berhubung perkara tersebut.
“KESUMA sentiasa komited dan menjunjung prinsip Rukun Negara dalam memelihara nilai keterangkuman, perpaduan dan rasa hormat dalam kalangan rakyat Malaysia,” jelasnya.
Terdahulu seorang pengguna media sosial, Che Gubard mendakwa gambar gereja digunakan sebagai latar belakang program tersebut ke arah usaha pluralisma dan liberalisma melampau.
Program berhubung draf undang-undang pekerja gigi yang dihadiri oleh Menteri, Steven Sim Kee Cheong itu berlangsung Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Rabu lalu. – UTUSAN