KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang menubuhkan majlis komuniti kecil bagi meningkatkan potensi industri gaharu di negara ini.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, badan itu akan dianggotai individu yang berkepakaran dan pemain industri, selain pakar dari luar negara.
Katanya, menerusi penubuhan majlis tersebut, setiap hasil kayu gaharu dapat ditentukan nilai serta gred kualiti.
“Saya akan mendapatkan data daripada Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) bagi mengenal pasti pihak yang terlibat dalam penanaman pokok tersebut.
“Kalau perlu kita akan panggil dari luar negara untuk beri pengetahuan dan berkongsi ilmu bagaimana mahu kredit dan gredkan (kayu gaharu). Malah Malaysia juga boleh keluarkan sijil kualiti kayu gaharu satu masa nanti,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Buku Agarwood Diamond of The Forest di sini, hari ini. – UTUSAN