KUALA LUMPUR : Berjaya melangsaikan ‘hutang’ persembahan dengan sempurna kepada penonton, trio, Datuk Hattan, Black dan Hazama turut menyajikan segmen khas bagi mengenang Allahyarham Jay Jay dalam konsert Hitam Manis malam tadi.
Berlangsung di Plenary Hall Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), segmen istimewa itu antara yang ingin dipersembahkan trio itu kepada penonton demi mengenang Allahyarham sebagai seorang penghibur tanah air.
Menurut Hattan, pemergian Jay Jay pada 4 Ogos lalu membawa duka buat industri seni hiburan kerana Allahyarham merupakan seorang penyanyi dan pemuzik yang disegani dan disayangi ramai semasa hayatnya.
“Saya bersama Hazama dan Black memang mahu melakukan segmen tribute ini bagi mengenang Jay Jay. Kalau siapa yang tahu, kebanyakan lagu saya dia yang main gitar bass, semua dia main.
“Kita sebenarnya memang kehilangan sebutir mutiara dalam industri seni. Secara peribadi, arwah memang seorang yang baik dan sangat ‘low-profile’.
“Saya amat bersyukur kerana semasa pemergiannya, saya berkesempatan memandikan jenazahnya sebagai bakti terakhir. Malam ini juga kami jemput balu arwah, Kak Zai untuk hadir,”katanya.
Menerusi konsert tersebut, trio Hitam Manis itu membawakan lagu Rindu Bayangan, sebuah karya hits yang pernah dinyanyikan oleh Allahyarham ketika menyelusuri perjalanan indah bersama kumpulan Carefree.
Sementara itu, konsert yang berlangsung selama tiga jam itu menyaksikan tirai persembahan dibuka dengan lagu berjudul Duit oleh trio berkenaan dengan penuh tenaga.
Hazama kemudiannya mengambil alih pentas menerusi segmen solonya dengan membawa lagu berjudul Di Amaran Mama, medley Sampai Mati, Cinta Teragung sebelum meneruskannya dengan lagu Semacam Pandora, Umi, Relakan Jiwa dan Penglipur Lara.
Selepas Hazama, Black pula menguasai pentas dengan segmen solonya.
Antara lagu hits yang dinyanyikan oleh Juara program Mentor musim ketiga ini ialah Sofea Jane, Mana Mungkin, Tak Akan Terpisah, Hijab Rindu dan Aku Rindu Sayang Kamu.
Black juga menyediakan kejutan untuk peminat dan penonton dengan membawakan lagu hits Allahyarham Sudirman berjudul Merisik Khabar selain mengundang anak lelakinya, Khaleef Dayyan yang berusia 10 tahun ke pentas berduet dengannya menerusi lagi Pok Pet.
Selepas Black, antara segmen yang dinanti adalah persembahan daripada Hattan yang mendapat pujian dan tepukan gemuruh menerusi lagu-lagu hits dan nostalgia yang dinyanyikannya.
Antara lagu yang dibawakan Hattan termasuk Biso Bonar, Rendang Tak Berbuah, Gerhana, Mahligai Syahdu, Meniti Perjalanan dan Memburu Rindu.
Konsert juga menyajikan persembahan gabungan trio ini yang mendendangkan lagu Rindu Bertandang Lagi, Drama King dan Dari Kekasih Untuk Kekasih.
Konsert yang dianjurkan oleh Reacch Events itu tamat pada jam 12 tengah malam dan telah dihadiri seramai 2,500 peminat dan penonton.