Jumlah petugas kesihatan letak jawatan menurun

Jumlah petugas kesihatan letak jawatan menurun

DZULKEFLY Ahmad di Dewan Rakyat - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jumlah petugas kesihatan meninggalkan fasiliti kesihatan awam menunjukkan penurunan pada 2024 berban­ding tahun sebelumnya yang me­nyaksikan peletakan jawatan doktor secara beramai-ramai.

Menerusi statistik Kementerian Kesihatan (KKM), seramai 1,736 petugas meletakkan jawatan tahun lalu iaitu menurun dari 2023 (2,346), 2022 (2,388) tetapi tinggi dari 2021 (1,516) dan 2020 (1,369).

Jumlah 1,736 petugas kesihatan itu terdiri daripada pegawai tetap seramai 386 orang, pegawai kontrak (289), pakar perubatan (400), jururawat tetap (569), jururawat kontrak (13), penolong pegawai tetap (45) dan penolong pegawai kontrak (34).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, KKM komited melaksanakan urusan pengambilan dan pengisian kekosongan perjawatan di fasilitinya.

Katanya, KKM berjaya melaksanakan pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) untuk menambah baik kualiti dan kualiti pakar perubatan yang akan dilahirkan sama ada melalui program sarjana atau laluan parallel (selari).

Seramai 5,807 pegawai perubatan sedang mengikuti latihan kepakaran KKM meliputi 5,115 pegawai dalam program sarjana perubatan dan 692 orang lagi melalui program parallel pathway.

“KKM turut melantik tetap seramai 13,879 pegawai perubatan kontrak bagi tempoh 2019 hingga 2024. Tahun ini, KKM menyasarkan melantik tetap seramai 3,200 pegawai perubatan kontrak.

“Tahun lalu, KKM melantik seramai 3,316 graduan perubatan sebagai pegawai perubatan siswazah (PPS). Tahun ini, KKM menyasarkan melantik seramai 3,000 PPS yang akan ditempatkan di 49 Hospital Latihan Siswazah (HLS) di seluruh negara,” katanya menjawab soalan Dr. Halimah Ali (PN-Kapar) di Dewan Rakyat di sini semalam.

Tambah Dzulkefly, KKM menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan melaksanakan pengambilan tahun ini melibatkan seramai 3,228 jururawat daripada kalangan graduan diploma institusi pendidikan dalam negara bagi tujuan mengisi perjawatan tetap.

“KKM turut meningkatkan pengambilan pelatih separa perubatan di Institusi Latihan KKM (ILKKM) kepada 6,705 orang bermula tahun ini.

“Sehingga 31 Januari lalu, terdapat seramai 10,679 pelatih meliputi 14 skim perkhidmatan paramedik dan auksiliari sedang menjalani latihan di ILKKM di seluruh negara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, rekod KKM mendapati terdapat peningkatan sebanyak 18 peratus bagi jumlah kedatangan pesakit ke fasiliti kesihatan awam iaitu seramai 68,157,122 pada 2023 berbanding 57,926,813 pesakit pada 2020. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya