TAPAH: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan lancar dan terkawal meskipun berlaku peningkatan kenderaan sehingga 1.82 juta pada hari terakhir Op Selamat 23 sempena Tahun Baharu Cina.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, aliran trafik menghala masuk ke ibu negara turut lancar walaupun bergerak perlahan akibat kesesakan.
“Memang setiap tahun bagi perayaan utama, lebuh raya akan mengalami kesesakan yang luar biasa. Sekarang pun, lebuh raya utama menyaksikan pertambahan kenderaan pada skala dua hingga tiga.
“Bagaimanapun, berdasarkan pertemuan dengan pengguna lebuh raya, kita dapati mereka faham dengan keadaan ini dan telah merancang perjalanan dari awal.
“Malah, mereka tahu bahawa perjalanan akan menjadi perlahan berikutan pertambahan kenderaan sekali gus bersedia menghadapi situasi seperti ini,” katanya kepada pemberita pada Program Advokasi Op Selamat 23 Sempena Tahun Baharu Cina 2025 di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah selatan, di sini hari ini
Menurut beliau, sebanyak 104,235 saman trafik dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya di seluruh negara dalam Op Selamat 23 yang dilancarkan bermula 28 Januari lalu sehingga hari terakhir operasi itu hari ini.
Katanya, jumlah tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 43 peratus berbanding 183,033 saman yang dikeluarkan dalam Op Selamat 21, tahun lalu.
“Saman yang dikeluarkan pada Op Selamat 23 ini memperlihatkan memandu melebihi had laju merekodkan jumlah tertinggi sebanyak 44,940 saman.
“Diikuti kesalahan lampu isyarat sebanyak 2,034 kes, memandu menggunakan telefon bimbit (869), memandu di lorong kecemasan (602), memotong barisan (573) dan memotong di garisan berkembar (321),” katanya.
Tambah beliau, penurunan jumlah saman itu dilihat sebagai suatu yang positif di mana ia menunjukkan kesedaran orang ramai terhadap pematuhan peraturan serta undang-undang jalan raya.
“Kita akan buat kajian nanti adakah penurunan ini ada kaitan dengan perubahan sikap atau kempen-kempen advokasi yang dijalankan sebelum ini berjaya memberi pendedahan kepada pengguna,” katanya. – UTUSAN