PENYANYI, Siti Nordiana terlalu sinonim dengan Allahyarham Abdillah Murad Md. Shari atau lebih dikenali sebagai Achik Spin kerana keduanya mencipta fenomena menerusi lagu-lagu duet ‘berhantu’ seperti Gurauan Berkasih, Memori Berkasih dan Paling Comel.
Fenomena yang dicipta tidak malap meskipun selepas Achik meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya sejak 15 tahun yang lalu. Peminat berpendapat Allahyarham sebagai pasangan duet paling serasi dengan Siti Nordiana yang mesra dengan panggilan Nana.
Persoalan mengenai siapa rakan duet Nana yang paling serasi selepas arwah Achik sebelum ini pernah juga dibualkan peminat. Bukanlah Nana atau nama sebenarnya, Siti Nordiana Alias tidak pernah digandingkan (dalam lagu) dengan mana-mana penyanyi lelaki sebelum ini.
Malah ibu tunggal kepada seorang cahaya mata ini pernah merakamkan lagu Satukan Rasa bersama Khai Bahar pada 2019 namun kolaborasi tersebut kurang meninggalkan impak sebagaimana yang dicetuskan lagu-lagu duetnya bersama arwah Achik.
Saya pula bersetuju jika ada yang memetik nama Tomok sebagai penyanyi paling serasi merakamkan lagu duet dengan Nana selepas Achik. Hal demikian terbukti menerusi penghasilan single Memori Mungkin Berulang yang menerima sambutan menggalakkan peminat dengan 4.2 juta tontonan di Youtube.
Dan apabila menyaksikan dengan mata kepala sendiri perkongsian pentas Nana dan Tomok pada showcase Live Music @Sea dalam kapal pelayaran Genting Cruise baru-baru ini, saya merasakan tidak mustahil Nana dan Tomok boleh mencipta fenomena jika mereka terus digandingkan.
Kedua penyanyi itu bukan sahaja serasi di atas pentas, malah berjaya mengembalikan memori pendengar yang sebelum ini mengikuti perjalanan lagu-lagu popular era 90-an.
“Saya dan Tomok berkongsi jiwa yang sama, pada saya dia miliki ‘jiwa’ arwah Achik. Pada masa yang sama, kami muncul dalam industri pada zaman yang sama, membesar dalam industri bermula era 90-an.
“Jadi tentang keserasian, kami memang tiada masalah. Jika peminat menyambut baik kolaborasi kami, kami akan teruskan dengan lebih banyak lagu duet selepas ini,” kata Nana pada sidang media selepas showcase berkenaan baru-baru ini.
Persembahan mereka, yang ditonton 600 peminat pelbagai latar belakang, dimeriahkan dengan nyanyian deretan lagu-lagu popular masing-masing.
Ibaratnya Nana melunaskan harapan peminat menerusi alunan lagu-lagu hitsnya seperti Benang Emas, Angkara, Cinta Hanya Sandaran, Hatiku Milikmu dan banyak lagi.
Manakala Tomok pula berjaya membeli jiwa audiens dengan aksi bertenaga dalam menyampaikan lagu Rock Star Junior, Meraung, Sejarah Mungkin Berulang, Apa Dah Jadi yang dipopularkan Allahyarham Tan Sri Datuk SM Salim dan C.I.N.T.A dan Bahalol (XPDC).
Tambah istimewa apabila keduanya membawa penonton kembali ke era 90-an dengan alunan lagu Gurauan Berkasih, Memori Berkasih dan Paling Comel.
Tomok mengakui tidak timbul kejanggalan antara dia dan Nana yang saling mengenali sejak lama.
“Saya, Nana dan arwah Achik adalah penyanyi yang bermula dalam industri seni sekitar era yang sama. Kami ini berkawan sejak dulu dan sering bertemu pada acara yang sama.
“Tentang kolaborasi dengan Nana, peminat lebih layak menilai. Yang penting, kami tidak menolak sekiranya dipadankan lagi untuk berduet selepas ini,” kongsinya.
HADIAH UNTUK PEMINAT
Tomok ditanya mengapa dia dan Nana, ketika zaman kegemilangan mereka dahulu tidak sekali pun disatukan dalam lagu sedangkan keduanya muncul dalam industri seni pada era yang sama.
Jawab Tomok, merakamkan lagu duet dengan Nana ketika itu tidak berlaku apatah lagi keduanya bernaung di bawah syarikat rakaman yang saling bersaing antara satu dengan lain.
“Mustahil untuk kami berduet ketika itu, apatah lagi syarikat rakaman kami iaitu Fantastic Music City (FMC) dan Suria Records (SRC) saling bersaing ketika itu. Jadi duet antara kami memang tak mungkin sekali berlaku.
“Saya dan Nana hanya berborak tentang perkara ini selepas pembabitan kami dalam All Star Gegar Vaganza setahun lalu. Selepas ituu barulah kami merancang untuk berkolaborasi merakamkan Memori Mungkin Berulang.
“Insha-Allah, selepas Hari Raya Aidilfitri nanti, kami akan hadiahkan sebuah lagi lagu duet untuk peminat,” kongsinya.-UTUSAN