KLUANG: “Pulangkan anak saya, dia masih remaja dan perlu belajar demi masa depannya.”
Demikian rayuan ibu remaja hilang, Norita Kasmin, 47, kepada seorang individu yang dipercayai mempengaruhi Nur Fakhira Dania Zahir, 14, untuk lari dari rumah.
Katanya, anak kelima daripada enam beradik itu selama ini tidak pernah melawan dan sentiasa mematuhi arahan termasuk tidak memiliki telefon bimbit kerana masih bersekolah.
“Kepada orang yang membawa anak saya itu, sila pulangkan dengan baik, dia perlu meneruskan pembelajarannya sehingga tamat tingkatan lima.
“Jika tidak mahu menghantar secara terang-terangan, buatlah seperti ketika kamu mengambilnya tempoh hari, jangan rosakkan masa depannya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selepas kehilangannya pada 12 Februari lalu, mereka sekeluarga sentiasa mencari satu-satunya anak perempuan dalam keluarga itu.
Sebelum ini, Nur Fakhira Dania dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar menaiki sebuah kereta Perodua Myvi berwarna hitam kira-kira pukul 10 malam.
Pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Perdana itu tidak membawa sebarang pakaian serta duit poket untuk berbelanja.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diharap dapat menghubungi balai polis berdekatan. – UTUSAN