KUALA LUMPUR: Meskipun peringatan telah diberikan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, isu Titah Adendum terus menghangatkan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15 bermula Isnin lalu dan berakhir kelmarin.
Isu itu menjadi pertikaman lidah antara pihak pembangkang dan blok kerajaan apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mendakwa ada ‘tangan’ menyorok titah tersebut.
Hamzah menyifatkan penyorokan Titah Adendum itu merupakan penderhakaan kepada institusi diraja. Dakwaan itu menyebabkan pemimpin-pemimpin kerajaan bangun meminta pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu menarik balik dakwaan tersebut.
Dewan juga panas apabila pembangkang turut mengkritik kerajaan berhubung kenaikan tarif elektrik yang didakwa mereka tidak jelas dan ‘caca marba’.
Selain dua isu di atas, isu harga padi dan bekalan beras tempatan yang ‘hilang’ di pasaran dan sehingga kini masih gagal diselesaikan oleh kerajaan, turut menghangatkan persidangan kali ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi ‘sasaran’ wakil rakyat pembangkang, termasuk Hamzah, memaklumkan harga baharu lantai padi akan diumumkan kerajaan pada minggu hadapan di Parlimen.
Dewan Rakyat turut menyaksikan perbahasan wakil rakyat daripada blok kerajaan dan pembangkang, mengenai cadangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump membuat pemindahan atau pengusiran paksa rakyat Palestin dari tanah air mereka.
Pembangkang mencadangkan agar sidang khas Dewan Rakyat dibuat bagi membincangkan masa depan Palestin selepas ikrar yang dibuat oleh Trump itu.
Isu lain yang menjadi tumpuan ialah pengumuman bahawa Sarawak mengiktiraf Akta Kemajuan Petroleum 1974 dalam menentukan tata kelola dasar dan pengoperasian industri petroleum di Malaysia.
Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15 dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Baginda merakamkan pesanan kepada seluruh Ahli Parlimen supaya menggunakan persidangan bagi membahaskan agenda kepentingan rakyat dan kemakmuran negara serta mengetepikan kepentingan politik dan tidak saling melontar fitnah kepada ahli lain.
Dewan Rakyat akan bersidang semula pada 12 dan 13 Februari ini.-UTUSAN.