Titah Adendum: Gag order untuk elak prejudis

Titah Adendum: Gag order untuk elak prejudis

Datuk Seri Najib Razak
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

 

KUALA LUMPUR: Larangan bersuara (gag order) yang dimohon oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) adalah bagi memastikan keadilan ditegakkan tanpa gangguan daripada perbincangan awam yang tidak terkawal, menghalang sebarang kenyataan yang boleh memprejudiskan prosiding semakan kehakiman oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Peguam Cara Negara, Datuk Suzana Atan, pada ketika ini tidak boleh dinafikan bahawa terdapat laporan media, kenyataan awam, forum yang disertai oleh pelbagai golongan lapisan masyarakat termasuk peguam pemohon (Najib) sendiri, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Berdasarkan eksibit yang dilampirkan dalam afidavit balasan terhadap afidavit jawapan yang difailkan oleh Najib pada 5 Februari lalu, antara eksibit yang difailkan turut membabitkan forum awam dan audio siar (podcast) yang disertai Muhammad Shafee serta senarai audio video (playlist) di laman media Spotify.

Antaranya ialah “Townhall Rakyat Mencari Kebenaran – Badan Kehakiman & Keadilan Rakyat (1MDB, SRC, IPIC, DNAA, DAA, Hearsay, Addendum, Tahanan Politik, Konflik Kepentingan, Tahanan Rumah, Hak Rakyat)”; “Townhall Rakyat Mencari Kebenaran – Pengampunan Diraja: Skop dan Halangan”; “Titah Adendum Disorok? Siapa yang Bertanggungjawab”; dan Spotify “This is Royal Addendum”.

“Pemohon gagal menyedari bahawa perintah larang suara bukannya sekatan mutlak terhadap kebebasan bersuara tetapi merupakan sekatan munasabah yang diperlukan bagi mengelakkan kemudaratan yang tidak dapat diperbaiki terhadap prosiding kes semakan kehakiman ini.

“Bantahan yang dibangkitkan (Najib) adalah tidak berasas dan merupakan satu salah faham kerana permohonan ini secara jelas (telah) menyatakan asas-asas yang menjadi sandaran bagi permohonan larangan bersuara,” kata Suzana bagi pihak Jabatan Peguam Negara (AGC).

Selain itu, dalam keadaan yang mana pendedahan maklumat tertentu kepada umum boleh menyebabkan kemudaratan yang tidak dapat diperbaiki terhadap prosiding kes maka permohonan larangan bersuara yang dimohon adalah sah.

“Perkara utama yang perlu dipertimbangkan adalah sama ada penyebaran maklumat tertentu boleh mengganggu pentadbiran keadilan yang saksama. Mahkamah mempunyai budi bicara untuk mengeluarkan perintah larang suara demi kepentingan keadilan.

“Saya menegaskan bahawa perbincangan yang negatif, andaian yang mengelirukan dan bersifat fitnah secara terbuka di kalangan masyarakat boleh menggugat kepercayaan awam dan mencetuskan kemudaratan. Perbincangan media dan awam yang berterusan mengenai isu ini boleh mencetuskan risiko prejudis yang serius terhadap prosiding undang-undang yang sedang berjalan,” katanya.

Pada 20 Janua­ri lalu, AGC telah memfailkan per­mohonan larangan bersuara (gag order) bagi menghalang ma­na-mana pihak termasuk media untuk memperkatakan mengenai Titah Adendum yang me­nyen­tuh mengenai penahanan be­kas Perdana Menteri itu di rumahnya se­hingga habis hukuman penja­ra.

Permohonan itu dibuat kira-kira dua minggu selepas Mahka­mah Rayuan memberikan kebenaran kepada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memulakan semakan kehakiman ber­hubung kewujudan Titah Aden­dum tersebut.

Menurut afidavit jawapan Najib, beliau menyatakan, tindakan memfailkan larangan bersuara itu adalah satu tindakan pramatang dan tidak berasas.

Selain itu, Najib mendakwa, AGC masih boleh melindungi Institusi Diraja dengan mengambil tindakan sivil atau jenayah terhadap individu yang menghina atau menggugat keselamatan negara.

Selain itu, Najib menyatakan tindakan memfailkan larangan bersuara itu juga adalah bertentangan dengan hak kebebasan bersuara sebagaimana yang diperuntukan dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Pada 1 April 2024, Najib mem­failkan semakan kehakiman antara lain mendakwa se­lain pe­rintah pengurangan hukuman penjara dan pengurangan jumlah denda, terdapat perintah tam­bahan yang membenarkan beliau untuk menjalani hukuman yang dikurangkan kepada ‘tahanan di rumah’ dan bukannya di Penjara Kajang.

Menurut afidavit difailkan, be­kas Perdana Menteri itu men­dakwa menerima ‘maklumat yang sahih’ berhubung Titah Aden­dum pada 12 Februari lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya