Tindakan tegas peniaga jual lesen bazar Ramadan - Utusan Malaysia

Tindakan tegas peniaga jual lesen bazar Ramadan

SANDREA Ng Shy Ching (kanan) dalam sidang akhbar di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan Perak akan memastikan tiada aktiviti penjualan atau memindahkan lesen perniagaan bazar Ramadan kepada pihak ketiga.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, tindakan tegas termasuk disenarai hitam akan dikenakan terhadap pemilik lesen berkenaan sekiranya didapati menjual lesen perniagaan mereka kepada pihak lain.

“Secara umumnya, tidak kira lesen untuk bazar Ramadan atau apa-apa lesen perniagaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), ia terikat dengan pihak yang diluluskan sahaja untuk menjalankan perniagaan.

“Ini kerana, dalam menilai kelulusan, memang secara spesifik kita menilai syarat pemohon, jadi tidak dibenarkan sama sekali untuk berlaku tukar atau jual lesen kepada pihak ketiga dan sebagainya.

“Jadi, untuk tahun ini kita akan pastikan aspek tersebut akan dititikberatkan. Kalau ada keperluan untuk dibuat secara hitam putih (perjanjian), kita akan pastikan syarat ini dipatuhi sepenuhnya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya memandang serius arahan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan tatakelola pihak yang diluluskan lesen tersebut dilaksanakan dengan ketat dan baik.

Katanya, meskipun tiada laporan berkaitan kegiatan itu di Perak sebelum ini, pihaknya memberi jaminan akan memantau perkara berkenaan.

“Melalui semakan awal untuk tahun 2024, kita dapati tidak pernah berlaku aktiviti tukar atau jual lesen perniagaan bagi bazar Ramadan dan sebagainya.

“Bagaimanapun, kita mengalu-alukan maklumat daripada orang awam sekiranya mengetahui ada aktiviti seumpama itu berlaku, segera laporkan supaya tindakan dapat diambil.

“Pendirian kita tegas dalam hal ini, seperti arahan Perdana Menteri untuk batalkan lesen serta merta atau kalau ada keperluan untuk kita senarai hitamkan mereka,” katanya.

Terdahulu, Anwar mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpir (DBKL) membatalkan serta-merta lesen perniagaan bazar Ramadan jika didapati ada peniaga memindahkan lesen itu kepada pihak ketiga.

Menurut Anwar, penguatkuasaan perlu tegas dan pemberian lesen juga perlu diberikan secara terus kepada peniaga itu sendiri tanpa melalui mana-mana ejen atau wakil. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya