PETALING JAYA: Kerajaan Negeri meminta siasatan dan tindakan segera terhadap suspek yang membuat cubaan merogol kanak-kanak perempuan di masjid di Batang Kali, awal pagi tadi.
Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata tindakan biadap itu tidak sewajarnya berlaku terutama di masjid yang merupakan tempat beribadat umat Islam.
“Saya telah memanjangkan laporan ini kepada Ketua Polis Selangor untuk membuat siasatan daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta gambar yang dibekalkan.
“Sekiranya benar, tindakan segera terhadap pelaku ini perlu diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Pagi tadi, tular di media sosial satu insiden cubaan merogol kanak-kanak perempuan dalam ruang solat jemaah wanita di masjid berkenaan sekitar waktu solat Subuh.
Mohammad Fahmi berkata, tindakan itu juga boleh membawa persepsi negatif orang ramai bahawa masjid tempat tidak selamat dan terdedah kepada perbuatan jenayah.
“Saya menyeru pengunjung masjid terus berwaspada dan membuat laporan segera kepada pihak berkuasa sekiranya wujud cubaan sebegini,” katanya.-UTUSAN