PETALING JAYA: Penyedia lesen media sosial Tik Tok tidak membenarkan sebarang rakaman, paparan klip video atau gambar penderaan mangsa melibatkan golongan kanak-kanak.
Tik Tok dalam satu kenyataan berkata, langkah tersebut dibuat bagi mengelakkan sebarang eksploitasi terhadap mangsa daripada golongan tersebut.
Katanya, Tik Tok akan terus bekerjasama dengan agensi media di negara ini untuk mendidik mereka tentang peraturan dan amalan terbaik di platform berkenaan.
“Untuk menjaga mangsa eksploitasi seksual kanak-kanak, kami tidak membenarkan rakaman, klip, atau gambar penderaan mereka.
“Kita juga sedia membincangkan cara-cara untuk bekerjasama bagi memastikan persekitaran yang lebih selamat untuk semua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, baru-batu ini memaklumkan 23 akaun TikTok milik organisasi media tempatan disekat platform tersebut dan ia dipercayai berkaitan dengan video mengenai kejadian cabul seorang kanak-kanak di sebuah masjid di Batang Kali.
Sekatan berkenaan mungkin disebabkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) oleh TikTok yang secara automatik menyekat kandungan tertentu dan Fahmi turut menekankan keperluan platform berkenaan untuk memahami kod etika media Malaysia dan melakukan penyesuaian yang sesuai. – UTUSAN