GEORGE TOWN : Tiga trip tambahan bagi perkhidmatan feri diatur Rabu ini bagi memudahkan pergerakan pengunjung sempena sambutan Tahun Baru Cina (Pai Thee Kong) di Pengkalan Weld, di sini.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Yeoh Soon Hin berkata, tambahan perjalanan itu adalah hasil permohonan rasmi kerajaan negeri serta George Town World Heritage Incorporated (GTWHI).
Katanya, ketiga-tiga trip tambahan itu akan beroperasi dari Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) di George Town ke Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) di Butterworth pada pukul 12 tengah malam, pukul 12.30 tengah malam dan pukul 1 pagi.
“Inisiatif ini diambil bagi memastikan kelancaran pergerakan pengunjung yang menghadiri program tersebut,” katanya di sini, hari ini.
Difahamkan, majlis sambutan anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Kongsi Pengkalan Chew Pulau Pinang itu dijadual bermula dari pukul 7 petang hingga pukul 12 tengah malam di Pengkalan Weld.-UTUSAN