Tiga selebriti hanya saksi, terima bayaran atas perkhidmatan

Tiga selebriti hanya saksi, terima bayaran atas perkhidmatan

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiga selebriti yang dipanggil memberi keterangan dalam Op Sky baru-baru ini hanya bertindak sebagai saksi dan tidak terlibat dalam pengurusan kegiatan syarikat yang disiasat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan mendapati mereka menerima bayaran atas perkhidmatan diberikan, termasuk menjadi duta kepada syarikat berkenaan.

“Mereka dipanggil untuk membantu siasatan kerana digunakan untuk mempromosikan syarikat itu, namun tidak terbabit dalam pengurusannya.

“Siasatan juga mendapati sejumlah wang dibayar kepada selebriti tersebut, tetapi ia adalah bayaran atas perkhidmatan yang mereka lakukan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan tiga individu yang memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya ialah penyanyi terkenal, Ziana Zain; pelakon, Datuk Jalaluddin Hassan dan Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor.

Op Sky yang dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) berjaya membongkar kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan.

Seramai 27 individu ditahan dalam operasi itu, termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan dan seorang orang awam.

Bagaimanapun, kesemua mereka telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Dalam serbuan tersebut, SPRM turut merampas kira-kira 4,000 dokumen dan membekukan 98 akaun bank melibatkan lebih RM17 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya