JERANTUT: Pemaju projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) atau Rumah Pahang, KMDI Holdings Sdn. Bhd. menyasarkan menyiapkan tiga projek utama di Felda Sungai Retang, Felda Jengka 11 dan Felda Jengka 1 sebelum akhir tahun ini.
Pengarah Urusan KMDI Holdings Sdn. Bhd., Datuk Azjuriyahti Azlan berkata, bagi Rumah Pahang di Felda Sungai Retang sudah mencapai tahap siap 67 peratus dan dijangka dapat disiapkan dalam tempoh dirancang.
Katanya, pembinaan di kawasan tanah rancangan itu melibatkan pelbagai komponen termasuk kediaman, infrastruktur asas dan kemudahan awam yang bakal memberikan manfaat kepada penduduk setempat.
“Felda Jengka 11 antara projek yang paling maju setakat ini apabila mencatatkan 71 peratus kadar siap. Pembangunan di kawasan ini menunjukkan pencapaian yang baik dan sedang menuju fasa akhir pembinaan.
“Dengan kadar kemajuan yang stabil, projek ini dijangka siap dalam masa terdekat, membolehkan penerima rumah mula menetap di kediaman baharu mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Azjuriyahti, projek di Felda Jengka 1 pula kini pada tahap 51 peratus siap menjadikannya antara projek yang masih memerlukan lebih banyak kerja pembinaan sebelum dapat diserahkan kepada pemilik.
Katanya, walaupun kadar siap masih peringkat pertengahan, pemaju sedang berusaha mempercepat proses pembinaan agar dapat disiapkan mengikut jadual.
“Secara keseluruhannya, ketiga-tiga projek ini sedang berjalan lancar dan menunjukkan kemajuan memberangsangkan. Kerajaan negeri dan pemaju komited untuk memastikan setiap fasa pembinaan dilaksanakan dengan teliti dan mengikut spesifikasi ditetapkan.
“Menerusi kadar kemajuan yang semakin meningkat, harapan untuk melihat lebih ramai rakyat tanah rancangan Felda memiliki rumah yang selesa dan berkualiti semakin hampir menjadi kenyataan,” katanya.
Beliau berkata, selain tiga projek utama itu, KMDI akan terus berusaha bagi memastikan tujuh lagi projek Rumah Pahang yang sedang berjalan dapat diteruskan dengan lancar dan mencapai kemajuan mengikut masa ditetapkan.
Selain Felda Sungai Retang, Felda Jengka 11 dan Felda Jengka 1, pembinaan Rumah Pahang turut dilaksanakan KMDI di Felda Keratong 7, Kampung Awah, Bukit Sagu, Kota Gelanggi 2, Jengka 12, Jengka 6 dan Felda Bukit Tajau. – UTUSAN