Tiga murid Orang Asli juara IRO

Tiga murid Orang Asli juara IRO

TIGA murid dari SK Permatang Keledang, Pekan, Pahang mencipta sejarah memenangi pertandingan Olympiad Robotik Antarabangsa (IRO) ke-26 2024/2025 di Busan, Korea Selatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bentang projek inovasi dalam tempoh dua minit jadi cabaran

 

Perlu membentang­kan hasil inovasi dalam masa dua minit menjadi cabaran mendebarkan yang terpaksa dihadapi tiga murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Keledang, Pekan pada pertandingan Olympiad Robotik Antarabangsa (IRO) ke-26 2024/2025 di Busan, Korea Selatan, minggu lalu.

Namun ia tidak mematahkan semangat tiga murid terbabit, Hafiezie Azwanizizi, 12, Matthew Jambai Karong, 11, dan Fizrey Rovince Ronachai, 12, bagi menyahut cabaran berkenaan sehingga mereka berjaya memperoleh kemenangan pingat emas dalam acara tersebut sekali gus mengharumkan nama negara di persada dunia.

Hafiezie berkata, cabaran tersebut berlaku secara spontan apabila mereka pada asalnya menyangka akan diberikan masa lima minit untuk membentang hasil kerja mereka.

“Kami diberikan tema untuk menyiapkan satu inovasi salam masa tiga jam. Tema tersebut adalah berkaitan penjagaan sungai.

“Selepas menyiapkan inovasi itu, kami biasanya diberikan masa lima minit untuk bentang dalam bahasa Inggeris, tetapi tidak menyangka hanya diberikan masa dua minit sahaja.
“Jadi itulah cabaran yang kami hadapi ketika itu,” kata­nya kepada Utusan Pelajar ke­tika ditemui di Geo Hotel Re­sort, Genting Highlands di sini.

Ketiga-tiga mereka menerima sumbangan berupa wang tunai bernilai RM1,000 disampaikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menurut Hafiezie lagi, dia juga tidak menyangka pasukannya berjaya merangkul pingat emas sekali gus dinobatkan sebagai johan dalam acara tersebut yang berlangsung selama lima hari bermula 17 Januari sehingga 21 Januari lalu itu.

“Sebenarnya memang tidak sangka boleh menang sebab kita bersaing dengan ramai orang dari negara besar dan hebat,” ujarnya.
Bercerita lanjut, Hafiezie yang bercita-cita menjadi seorang profesor akan menggunakan sumbangan yang diberikan oleh kerajaan negeri itu untuk membeli barangan persiapan persekolahan.

“Saya akan guna sumbangan ini untuk beli baju, kasut, buku dan peralatan sekolah memandangkan saya akan bersekolah menengah untuk sesi persekolahan akan datang,” katanya.

Guru Penolong Kanan Pentadbiran SK Pematang Keledang, Wan Rahmat Wan Ismail pula berkata, kejayaan itu tidak akan terhenti di situ sahaja, sebaliknya pihak sekolah turut merangka untuk menyertai beberapa pertandingan lain tahun ini.

“Untuk sasaran kita tahun ini, kita ada beberapa acara yang kita akan masuk antaranya yang paling terhampir pada bulan April kita akan masuk acara Penang International Robotic Competition di Taiping dan pada bulan Mei, kita mungkin masuk International Robotic Tournament di Miri, Sarawak.

 

“Insya-Allah kita juga akan menyertai acara itu dan doakan kejayaan kita. Dan juga bulan Oktober kita akan turut serta acara MakeX Competition yang diadakan setiap tahun,” ujarnya.

Menurutnya lagi, untuk jangka masa yang panjang, pihak sekolah sedang merancang untuk mencari pelapis tiga murid berkenaan dengan dua daripadanya akan memulakan sesi persekolahan di sekolah menengah.

“Perancangan untuk kita akan datang untuk meneruskan keja yaan ini, kita akan mulakan daripada seawal usia 10 tahun.

“Maknanya apabila murid masuk tahap dua, kita sudah dedahkan apa itu robotik dan asas-asas robotik bagi mereka kenal dan minat.

“Apabila sudah kenal dan minat, barulah kita asuh dan bawa keluar mereka ini ke (pertandingan) peringkat daerah, negeri dan kebangsaan,” ujarnya.

Guru Penolong Kanan Kokurikulum SK Permatang Keledang, Zulkhairil Umar, pula berkata, pelbagai pihak menyumbangkan dana sepanjang penyertaan tiga murid sekolah terbabit ke pertandingan berkenaan.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan, Menteri Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), Pejabat pendidikan Daerah (PPD), Petrosains dan juga kepada penaja kami iaitu ORACO, Yayasan Pahang, MyKasih Foundation dan kerajaan negeri Pahang atas sumbangan dan sokongan kepada kami untuk dana kami sepanjang kami ke Busan.

“Terima kasih juga kepada Menteri Besar atas sumbangan dan komitmen yang sejak daripada awal sentiasa memberi sokongan untuk anak-anak SK Permatang Keledang,” katanya.

Perjalanan peserta-peserta ini bermula dengan program Petrosains Tech4All, sebuah inisiatif yang direka khas untuk memperkenalkan murid-murid kaum asli ataupun peribumi kepada pembelajaran robotik dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui aktiviti pembangunan kemahiran secara praktikal.

Murid-murid tersebut seterusnya menyertai Petrosains RBTX Challenge 2024, di bawah sub-kategori yang baharu diperkenalkan tahun lalu, iaitu Inovasi: Budaya Orang Asli & Teknologi. Pertandingan ini mencabar mereka untuk mengaplikasikan pengetahuan STEM dalam mencipta penyelesaian lestari.

Berikutan kejayaan dalam Petrosains RBTX Challenge 2024, pasukan tersebut menerima jemputan daripada IRO ke-26 di Busan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya