KUALA LUMPUR: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sudah mengeluarkan tiga amaran kepada kepada bot dinaiki warga Indonesia dalam kejadian di perairan berhampiran Pulau Carey minggu lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, amaran tersebut tidak diendahkan sebelum berlaku insiden kejar-mengejar dan percubaan untuk melanggar bahagian enjin bot pasukan Maritim Malaysia.
Saifudin berkata, anggota Maritim Malaysia yang menaiki bot kelas Penggalang Tiga ketika itu menggunakan pembesar suara untuk memberi amaran kepada bot migran Indonesia untuk berhenti, namun tidak dihiraukan.
“Adegan kejar-mengejar terus berlaku dengan cubaan rempuhan terhadap bot Maritim Malaysia sehingga anggota bertugas terpaksa melepaskan tembakan ke udara sebagai isyarat supaya bot migran berhenti.
“Sebagai langkah terakhir, barulah tembakan dilepaskan ke arah bahagian enjin kapal berkenaan,” katanya ketika sidang akhbar di Parlimen di sini hari ini.
Terdahulu, dalam insiden yang berlaku pada 24 Januari, Pusat Kawalan Maritim Malaysia di Klang mengesan aktiviti mencurigakan yang merujuk bot dinaiki migran Indonesia cuba memasuki perairan negara iaitu di perairan Pulau Carey.
Menurut Saifudin, pada hari yang sama juga, satu lagi aduan memaklumkan bahawa ada tiga lagi lelaki yang cedera akibat kesan tembakan dihantar ke Hospital Serdang termasuk yang meninggal dunia sementara seorang lagi yang cedera dimasukkan ke Hospital Klang. – UTUSAN