GOMBAK: Tiada penjelasan diperlukan berhubung garis panduan baharu bagi umat Islam untuk menghadiri majlis bukan Islam.
Namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, adalah penting bagi semua umat Islam untuk menjaga akidah kerana sememangnya mengetahui pantang larang membabitkan agama.
Jelasnya, kehadiran umat Islam pada majlis bukan Islam tidak melebihi batas sebaliknya hanya sekadar memenuhi jemput majlis dan bukannya upacara agama.
“Kita di Malaysia ini, betul Islam agama Persekutuan tetapi kita negara pelbagai kaum pelbagai agama. Kalau kita nak pastikan negeri ini aman, kita kena jaga semua pihak.
“Maknanya hari ini saya hadir, ini upacara masyarakat India. Saya bukan masuk kepada upacara agama, begitu juga kalau Tuan Seri Naga Raja pergi ke kawasan masjid untuk majlis, kenduri dan sebagainya dia bukan pergi ke upacara agama Islam tetapi untuk majlis.
“Jadi, saya rasa tidak perlu bagi penjelasan berhubung peraturan atau panduan. Yang perlu orang Islam jaga akidah dia bahawa ada peraturannya, ada yang tak boleh dilanggar. Tetapi untuk menyantuni masyarakat pelbagai kaum pelbagai agama itu tidak ada masalah selama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Dewan Kuil Batu Caves di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, keputusan Jemaah Menteri berhubung garis panduan baharu itu tidak menimbulkan sebarang masalah.
“Jadi kalau masalah berbangkit soal panduan itu, bagi saya ia tidak berbangkit.
“Bagaimanapun, ini telah diputuskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri dan saya akan persembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
“Jadi jangan-jangan persulitkan. Jangan menimbulkan kerisauan dalam masyarakat,” katanya.-UTUSAN