KOTA KINABALU: Tiada keperluan untuk mewujudkan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kerana peranan menteri sedia ada sudah cukup inklusif.
Exco Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Anil Sandhu berkata, cadangan itu tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat di negara ini yang majoritinya beragama Islam
“Saya melihat peranan menteri sedia ada sudah cukup inklusif dalam memastikan semua pihak dapat mengamalkan agama masing-masing dengan harmoni. Kita harus kembali kepada Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan agama Islam sebagai agama rasmi negara. Jadi, cadangan sebegitu amat sensitif.
“Sebarang perubahan terhadap struktur kementerian yang melibatkan urusan agama harus diteliti secara mendalam agar tidak menggugat keharmonian yang telah dikecapi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian semasa mengulas tentang cadangan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui yang mencadangkan portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua, iaitu satu untuk urusan agama Islam dan satu lagi untuk hal ehwal bukan Islam.
Kata Anil, selama ini urusan agama Islam telah diurus dengan baik tanpa menjejaskan kebebasan beragama penganut agama lain.
“Jadi, tiada keperluan cadangan sebegitu dilaksanakan kerana kebebasan beragama telah lama terjamin di negara ini tanpa sebarang diskriminasi.
“Cadangan ini juga boleh menimbulkan kekeliruan dalam pentadbiran dan membuka ruang kepada ketidakstabilan sosial jika tidak dikendalikan dengan berhati-hati,” katanya. – UTUSAN