Tidak mahu Che Tam menangis kali kedua

Tidak mahu Che Tam menangis kali kedua

CHE Tam menemani Bantut untuk makan pada setiap petang di kandangnya di Felda Lepar Hilir 2, Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Tidak mahu melihat anak kesayangannya, Nurul Afina Aqila Azman, 11, menangis buat kali kedua, si bapa mening­katkan langkah pengawasan di kandang kerbaunya di ladang sawit Felda Lepar Hilir 2 di sini, bagi mengelak kecurian berulang.

Azman Umar, 34, berkata, Nurul Afina Aqila atau mesra di panggil Che Tam menangis selama seminggu pada April 2020 apabila kerbau kesayangannya yang diberi nama ‘Atan’ dicuri.

“Ketika itu saya sendiri pun sedih lihat Che Tam asyik menangis mengenangkan kerbaunya. Jadi, bagi mengelak ia berulang, saya memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kandang. Saya juga mengupah pekerja ladang di situ untuk menjaga kandang.

“Ketika musim perayaan, saya sendiri tidur di kawasan kandang. Ketika cuti, Che Tam dan isteri saya pun tidur di ladang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, Mingguan Malaysia menyiarkan kisah Che Tam yang tidak gentar bermain dan tidur di atas kerbau sejak usia­nya tiga tahun.

Di kala kanak-kanak lain seusianya leka bermain gajet dan menonton rancangan kartun di televisyen, namun tidak bagi Nurul Afina Aqila yang lebih gemar menghabiskan masanya bersama haiwan berkenaan.

Langsung tidak kekok, malah si kecil berkenaan nampaknya begitu manja dan seakan-akan mempunyai ‘pertalian’ cukup istimewa dengan haiwan tersebut terutama kerbau kesayangannya yang diberikan nama ‘Bantut’.

Che Tam dilihat begitu lincah dan tidak kekok mengendalikan kira-kira 30 ekor kerbau seperti pengembala berpengalaman di kandang keluarga di ladang kelapa sawit Felda Lepar Hilir 2.

Azman berkata, kejadian kecurian kerbau pada April 2020 tersebut merupakan kali pertama berlaku dan tiada lagi selepas itu.

Sementara itu, datuk Che Tam, Umar Haron, 65, juga tidak mahu lagi melihat cucu kesayangannya itu menangis buat kali kedua.

“Selepas Atan hilang, saya membeli Bantut sebagai ganti. Selepas itu Che Tam tidak lagi menangis dan mesra seperti sahabat dengan Bantut sehingga kini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya