KUALA TERENGGANU: Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar tidak pernah memikirkan bertanding sebagai Presiden parti itu kerana tanggungjawab jawatan tersebut sangat berat.
Beliau berkata, jawatan yang disandang ketika ini pun sudah agak berat apatah lagi jawatan sebagai pemimpin nombor satu Pas.
“Manalah saya layak. Saya ini (sebagai naib presiden) pun begitu berat bagi saya. Tentulah lebih berat dari itu, saya tidak pernah terpikir dan tidak berada dalam jangkauan (akal fikiran),” katanya selepas merasmikan Pelancaran Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2024-2030 di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan namanya dicalonkan untuk bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Pas dalam pemilihan parti itu pada September ini.
Ditanya sama ada beliau akan mempertahan jawatan sebagai Naib Presiden, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, beliau masih mempertimbangkannya.
“Kalau ada dicalonkan, saya tengok dulu macam mana, tak tentu lagi. Mana tahu tak cukup pencalonan kerana untuk bertanding ni ada syaratnya. Kalau cukup (memenuhi syarat), baru boleh bertanding tetapi memerlukan persetujuan dari individu berkenaan.
“Jadi untuk Naib Presiden, kalau saya rasa macam saya perlu beri ruang kepada muka-muka baharu yang lebih segar umpamanya, mengapa tidak saya mengundurkan diri. Tidak ada masalah. Kita dalam Pas ini, suasana demokrasi yang sangat harmoni,” katanya. – UTUSAN