KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia tidak boleh berdiam diri dan perlu menyatakan protes secara serius terhadap tindakan China yang cuba mengekploitasi dan ‘memunggah’ hasil laut di perairan negara.
Bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, meskipun China merupakan kuasa besar dunia, namun negara itu perlu diperingatkan mengenai tanggungjawab tidak menceroboh perairan negara-negara lain termasuk Malaysia.
Katanya, tindakan itu sudah tentu menjejaskan sumber perikanan dan mengancam kedaulatan negara.
“Pendirian kerajaan perlu tegas dalam perkara ini contohnya apabila berlaku pencerobohan di wilayah perairan kita, ruang udara mahupun darat, kita mesti menyatakan protes. Kita tidak boleh menganggap China adalah kuasa besar, jadi kita perlu diamkan perkara ini.
“Kuasa besar itu hanyalah persepsi dan setiap negara perlu ada tanggungjawab untuk menghormati hak-hak antarabangsa. China perlu mematuhi hak-hak antarabangsa, undang-undang perairan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan negara China menjalankan pemetaan dasar laut di Laut China Selatan bagi memudahkan pergerakan kapal selamnya di kawasan tersebut.
Pakar Undang-Undang Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Salawati Mat Basir dilaporkan berkata, tindakan itu bukan sekadar pencerobohan biasa, tetapi satu bentuk strategi, jangka panjang yang boleh menjejaskan sumber perikanan dan mengancam kedaulatan negara.
Nelayan Malaysia, khususnya di Sarawak katanya, sudah lama berdepan ancaman akibat pencerobohan namun isu itu tidak mendapat perhatian sewajarnya.
Hamid berkata, isu ini merupakan masalah besar yang harus ditangani segera, sekali gus melihat kewajaran menyuarakannya ke peringkat ASEAN supaya ada keputusan dan bantahan secara kolektif.
“Bila ada tindakan secara bersama di peringkat ASEAN, akan ada suara secara kolektif untuk mempertahankan hak dan integriti di kawasan perairan mengikut subjek yang dibincangkan. Ini merupakan ancaman baharu yang menyulitkan kawasan kita.
“Bila semuanya bertanggungjawab untuk menjaga keamanan di rantau ini, keselamatannya terkawal, China tidak boleh melaggar suara-suara ASEAN kerana ia sudah diangkat sebagai masalah bersama,” ujarnya.
Katanya, sudah sampai masanya untuk Malaysia bertindak lebih tegas bagi menjaga wilayah dan perairan negara daripada terus diancam oleh mana-mana pihak termasuk China. – UTUSAN