IPOH: Isi kandungan teks khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan diperakukan oleh Jabatan Mufti negeri adalah dibuat secara umum dan menjaga kepentingan rakyat.
Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh berkata, penyediaan teks itu dibuat oleh sekumpulan panel penulis khutbah di bawah majlis agama yang turut dianggotai kalangan ahli-ahli ilmuan.
“Sebelum diedarkan, ia disahkan oleh Jabatan Mufti. Maknanya mewakili Tuanku (Sultan Perak). Ertinya khutbah ini adalah khutbah yang telah diperkenankan oleh Tuanku melalui Mufti.
“Ini bermakna suatu pelanggaran etika (tidak baca teks disediakan). Tidak taat kepada Tuanku. Ia perlu dalam hubungan antara rakyat dan pemerintah. Pertama rakyat mesti taat, dan pemerintah menjaga kepentingan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas program Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini hari ini.
Pada beberapa minggu lalu tercetus kontroversi di negeri ini apabila dilaporkan terdapat khatib yang tidak membacakan teks khutbah Jumaat yang disediakan oleh JAIPk.
Mengulas lanjut, Wan Zahidi merasakan mungkin ada pihak tertentu yang terasa dengan isi kandungan khutbah.
Namun jelasnya, isi kandungan teks khutbah adalah berbentuk umum meskipun turut menyentuh sifat-sifat yang dilarang dalam Islam.
Dalam pada itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, beliau di peringkat Pusat menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan membuat penyelarasan agar masjid dan surau tidak ada campur tangan politik sepertimana titah Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.
“Kuasa agama tetap di bawah (bidang kuasa) negeri. Apa yang Jakim buat ialah untuk menyelaraskan. Contohnya dalam konteks tauliah yang diberikan dan titah duli-buli tuanku supaya masjid-masjid ini tidak ada campur tangan politik. Ini yang Jakim ambil peranan,” katanya. – UTUSAN