KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob menempak beberapa pihak yang masih mengelar dirinya sebagai katak politik.
Yusof berkata, beliau sehingga kini masih menerima panggilan tersebut ekoran tindakannya keluar Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Oktober 2021.
Katanya, gelaran itu tidak adil diberikan kepadanya kerana dua ADUN DAP juga bertindak melompat keluar parti dan menyertai Warisan.
“Dua orang daripada DAP iaitu ADUN Tanjung Batu dan Elopura itu apa? Belingkasa (belingkarung), bukan katakkah? Jadi, bila kena dengan orang lain, dia (Presiden Warisan) cakap begini, bila kena orang dia, tidak mahu cakap.
“Kita kena bertindak adil, bila orang kata saya katak, ada sebab mengapa saya meninggalkan Warisan. Saya tidak mahu dedah sahaja sebab saya tahu semua sebab dulu saya adalah Ketua Penerangan Warisan,” katanya ditemui pemberita semalam.
Dalam pada itu, Yusof berkata, beliau bersedia untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah jika rakyat mahu beliau kekal di kawasan Sindumin.
Beliau berkata, biarpun usianya hampir 70 tahun namun, beliau masih sihat dan mampu memberi khidmat kepada rakyat di kawasannya.
“Selama saya berpolitik, saya tidak pernah terhegeh-hegeh untuk menjadi calon. Namun, jika rakyat di kawasan masih mahu saya bertanding, saya sedia untuk bertanding.”
“Biarpun rambut saya putih tapi, saya masih boleh bekerja. Orang cakap di atas salji tapi di bawah api. Begitulah gambaran mengenai komitmen saya untuk bekerja demi rakyat,” katanya.