YAN: Perhimpunan pesawah di Putrajaya hampir seminggu lalu gagal meredakan kekecewaan golongan itu apabila lebih 200 daripada mereka kembali berdemonstrasi secara aman.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, walaupun memorandum telah diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri, namun masih tiada sebarang maklum balas dari Putrajaya mahupun kementerian terlibat.
“Kami masih ternanti-nantikan kenyataan daripada Perdana Menteri dan menteri terlibat berhubung permintaan pesawah. Sehingga hari ini masih tiada sebarang reaksi sejak pesawah turun ke Putrajaya seminggu yang lepas.
“Esok PeSAWAH akan turun lagi ke Putrajaya untuk bertanya perkembangan terbaharu keputusan di peringkat kementerian. Katanya sudah bincang tetapi kita tidak dapat satupun kenyataan rasmi lagi, sudah pasti kita ternanti-nanti,” katanya ketika ditemui pada perhimpunan menuntut kenaikan harga lantai belian padi kepada RM1,800 di Bukit Besar di sini, hari ini.
Tambah Abdul Rashid, walaupun perhimpunan di Putrajaya berdepan pelbagai cabaran termasuk perubahan lokasi pada saat-saat akhir, namun usaha mereka tidak akan terhenti.
“Hari ini kali ke-16 perhimpunan diadakan sejak 11 Januari lepas di Perak untuk menuntut kenaikan harga lantai dan kita akan teruskan. Kita berharap Perdana Menteri dan menteri beri maklum balas secepat mungkin kerana musim menuai sudah tiba,” katanya.
Dalam pada itu, petani wanita, Mazliza Md. Desa, 50, berkata, dia terpaksa mengeluarkan kos lebih tinggi sekiranya ingin meningkatkan hasil tanaman, walaupun mendapat bantuan subsidi kerajaan.
“Kami tidak pernah lalai untuk berusaha meningkatkan hasil tanaman padi. Selalunya akan keluarkan perbelanjaan sendiri contoh membeli baja atau racun tambahan kerana yang subsidi tidak cukup.
“Kami sedih melihat pesawah dalam kalangan orang berusia, hendak galak orang muda pun tidak mampu sebab bagi mereka daripada buat bendang, lebih baik makan gaji, dapat gaji minimum RM1,700,” katanya. – UTUSAN