Tiada pertembungan antara golongan ulama, profesional

Tiada pertembungan antara golongan ulama, profesional dalam Pas

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Tidak seperti dahulu, kebanyakan golongan profesional kini memilih Pas sebagai wadah perjuangan mereka, sekali gus menjadikan parti itu sebagai tunjang orang Melayu, Islam di negara ini.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, perkembangan itu menunjukkan Pas semakin diterima baik dengan penyertaan golongan profesional, akademik, doktor, tokoh perniagaan dan sebagainya.

Katanya, golongan ulama dan profesional juga tidak pernah bertembung, sekali gus menjadikan parti itu semakin kukuh di negara ini.

“Mudah kata, ulama dan profesional dalam Pas ini tidak pernah bertembung dengan kita ada mesyuarat harian, pusat dan syura. Apa yang penting, semua berpaksi pada satu hukum, iaitu hukum Allah.

“Hukum Allah ini, semua kena ikut, ulama kena ikut, profesional kena ikut dan seluruh umat Islam kena ikut. Pegang itu sahaja.

“Zaman dahulu cukup susah orang hendak masuk Pas dan untuk melihat profesional dalam Pas agak sukar pada masa itu. Namun kini, ramai yang memilih Pas sebagai pilihan. Wadah perjuangan Pas terus diterima oleh masyarakat termasuk golongan cerdik pandai,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Hashim, Pas tidak ketandusan pemimpin pelapis bagi menggantikan barisan kepemimpinan sedia ada.

Katanya, pemimpin-pemimpin muda mempunyai potensi cukup baik bagi menggantikan orang lama apabila sudah tiba masanya nanti.

Ujarnya, tradisi kepimpinan dalam Pas tidak pernah putus kerana parti itu sentiasa melahirkan tokoh-tokoh baharu yang berkelayakan untuk mengambil alih tampuk perjuangan.

“Pas sentiasa melahirkan ramai pemimpin-pemimpin pelapis sejak dahulu lagi yang akan memimpin Pas suatu hari nanti.

“Dapat dilihat pemimpin-pemimpin muda ini menunjukkan kematangan dalam berpolitik khususnya ketika berbahas di Parlimen dan mereka juga dalam proses ke arah mengetuai barisan kepemimpinan.

“Insya-Allah kita tidak ketandusan pelapis atau pemimpin-pemimpin muda selain mereka yang berpengalaman dalam Pas ini untuk memimpin parti ini kelak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya