KUALA LUMPUR: Pelakon, Linda Hashim nekad mahu bercerai dengan suaminya yang juga aktor, Beego selepas memfailkan perceraian buat kali ketiga di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.
Linda atau nama lengkapnya, Norhazlinda Hashim, 41, berkata, dia sudah memberikan peluang dan cuba perbaiki keharmonian rumah tangganya namun, tidak membuahkan hasil.
“Saya sedar perceraian kali ketiga ini sangat berat tetapi usaha kami untuk perbaiki hubungan sebelum ini tidak mendatangkan sebarang perubahan.
“Sebelum adanya kali ketiga ini, kita sudah berikan peluang pertama dan kedua yang seharusnya dijaga. Sepatutnya kita perbaiki bila wujudnya proses rujuk. Tetapi saya tidak nampak perkara itu terjadi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ditanya mengenai keputusannya jika Beego berusaha mencari jalan untuk berdamai, Linda tegas menyatakan dia tetap mahu mengakhiri perkahwinan tersebut secara baik.
“Tiada siapa yang mahu perceraian ini berlaku. Mungkin ini ujian untuk kami. Saya sudah usaha dengan cara saya sendiri tapi mungkin ini yang terbaik.
“Dia juga tahu perasaan saya. Dia perlu hormati apa yang saya rasa. Sekiranya saya memilih untuk tidak bercerai, saya takut jadi tidak ikhlas.
“Perkara itu tidak baik dan kami berdua perlu ikhlas. Dia tahu apa yang dia buat,” jelasnya.
Pada Khamis, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menangguhkan sesi sebutan pertama kes perceraian pasangan pelakon itu ke tarikh 6 Mac depan kerana ketidakhadiran Beego.
Menurut peguam syarie yang mewakili Linda, Nurul Fadzilah Kamaluddin, keputusan itu dibuat berikutan pihak mahkamah tidak dapat menyerahkan notis tuntutan kehadiran kepada pelakon lelaki itu.
Namun, mahkamah turut menyerahkan tanggungjawab kepadanya untuk memaklumkan defendan iaitu Beego mengenai tarikh sebutan kedua.
Difahamkan, Linda memfailkan perceraian di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1986 atas sebab sudah tiada persefahaman.