PETALING JAYA: Tiada keperluan untuk melantik seorang menteri bagi hal ehwal agama bukan Islam di peringkat Persekutuan sebaliknya tanggungjawab itu wajar dipikul oleh Menteri Perpaduan yang sedia ada.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa rakyat Malaysia perlu menghormati Perlembagaan Perkara 3 iaitu berkenaa kedudukan Islam dan Raja-Raja Melayu sebagai pemelihara Islam.
Selain itu, katanya, tiada peruntukan yang menyediakan tatacara khusus pengurusan agama selain Islam.
“Pandangan dan cadangan boleh dibuat namun akhirnya Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara adalah pemutus segalanya.
“Mungkin ada pula yang persoal bahawa perlembagaan boleh dipinda. Ya. Namun dalam hal melibatkan kedudukan Islam dan Melayu, syarat untuk meminda bukan sahaja Ahli Parlimen mesti cukup minima 148 orang (2/3 majoriti) menyokong pindaan tetapi yang paling penting mesti mendapat perkenanan Majlis Raja-Raja Melayu.
“DAP hanya ada 40 kerusi. Jadi boleh sekadar berkhayal sahaja jika mahu pinda Perlembagaan berhubung kedudukan Islam.
“Ini merupakan pendirian Presiden dan pimpinan UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Ahli Parlimen DAP Raub, Chow Yu Hui mencadangkan agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua.
Beliau ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja menyarankan ia dipecahkan kepada portfolio untuk urusan agama Islam dan satu lagi hal ehwal bukan Islam.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, semua pemimpin bukan Islam dalam Kerajaan Perpaduan sama ada DAP, PKR, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah menandatangani perjanjian untuk tidak sesekali melanggar Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan Islam, keistimewaan Melayu-Bumiputera, Kedaulatan Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu.
“Hormati Perlembagaan Perkara 3 Kedudukan Islam dan Raja2 Melayu Pemelihara Islam. Tiada keperluan Menteri Hal Ehwal Agama lain. Menteri Perpaduan yang patut jalankan kerja,” katanya. – UTUSAN