Tiada kelulusan melombong bijih timah dasar laut di Segari - Utusan Malaysia

Tiada kelulusan melombong bijih timah dasar laut di Segari

SAARANI Mohamad (tengah) melakukan gimik perasmian pada Majlis Peluncuran Hala Tuju Ekonomi Biru Negeri Perak di Lumut hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Syarikat yang didakwa mahu melaksanakan perlombongan bijih timah dasar laut di pesisiran pantai hutan simpan Segari, dekat sini, sehingga kini belum mendapat kelulusan melakukan aktiviti tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata syarikat tersebut sebenarnya sudah mendapat lesen untuk melakukan aktiviti tersebut pada 2015 tetapi tertangguh lama atas beberapa sebab termasuk pandemik Covid-19.

“Lesen syarikat ini akan tamat pada Ogos ini, jadi biasalah mereka ke situ (perairan Segari) untuk menunjukkan bahawa masih berminat untuk kembalilah (memperbaharui lesen).

“Setakat ini, syarikat itu belum mendapat surat kelulusan kebenaran melombong daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG),” katanya pada sidang media selepas meluncurkan Hala Tuju Ekonomi Biru Negeri Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air, dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Pengarah PTG Perak, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip.

Saarani diminta mengulas laporan akhbar ini minggu lalu, memetik gesaan Persatuan Nelayan Manjung Utara agar kerajaan negeri membatalkan atau menarik balik kelulusan yang diberikan terhadap syarikat tersebut kerana ia boleh merosakkan sumber marin dan menjejaskan sumber pencarian lebih 1,500 nelayan pantai di situ.

Ahli Lembaga Pengarah persatuan itu, Mohd. Faizal Mat Zin, 41, dilaporkan berkata kawasan yang diberi kebenaran untuk aktiviti itu dari muara Sungai Batu hingga Tanjung Batu, hanya kira-kira 200 meter dari pesisiran pantai dan menjadi lokasi utama pencarian hasil laut nelayan pantai.

Saarani berkata, kerajaan negeri mengambil maklum perkara tersebut manakala syarikat terbabit mempunyai asas berada di situ, justeru pihaknya cuba mencari penyelesaian ‘menang-menang’ terhadap isu berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan melihat semua aspek termasuk situasi semasa jika syarikat tersebut memohon lesen mereka disambung.

Katanya, syarikat tersebut sebenarnya memiliki kemahiran dan berpengalaman dalam melakukan perlombongan bijih timah dasar laut.

Ditanya mengenai kebimbangan nelayan kerana kapal korek sudah berlabuh di perairan Segari, beliau berkata:”Biasalah, ia seperti China meletakkan kapal perangnya di Laut China Selatan (walaupun tidak berperang).” – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya