PETALING JAYA: “Saya di sana atas jemputan sebagai saksi. Tiada istilah ikut ‘pintu belakang’.”
Demikian respons pelakon, Datuk Jalaluddin Hassan memberitahu kehadirannya di Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, baru-baru ini untuk membantu siasatan berhubung kes melibatkan sebuah syarikat perunding kewangan.
Nafi menggunakan pintu belakang, Jalaluddin berkata, sewaktu tiba di perkarangan SPRM beliau bersama dua duta lain iaitu penyanyi, Ziana Zain dan angkasawan negara, Datuk Dr Sheik Muszaphar hanya mengikut arahan pihak pegawai.
“Kami diarah untuk tunggu dalam kereta dan selepas itu kami dibawa oleh pegawai SPRM. Kita datang rumah orang, jadi kita ikut arahan orang saja. Saya pun hanya datang sebagai saksi dan beri kerjasama kepada mereka.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Mereka sangat peramah, Alhamdulillah. Mereka ada hubungi saya tanya okay ke tarikh itu, kalau saya sibuk ke boleh tukar tarikh lain.
“Tapi kalau saya datang waktu ini ada Sheikh Muszapha pun ada, Ziana Zain pun ada. Jadi saya seronok dapat jumpa Kawan-kawan. Begitulah perasaan saya,” katanya.
Jalaluddin berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sesi sidang media Tayangan Perdana Ramadan Raya Astro 2025, di sini, pada Khamis.
Sebelum ini, pelakon drama bersiri Nur itu memaklumkan penglibatannya dalam syarikat perunding kewangan tersebut hanya sebagai duta yang melakukan kerja-kerja pemasaran di media sosial.
Malah, beliau juga mengakui terkejut apabila perkara itu dimaklumkan kepadanya meskipun sudah berhati-hati.
“Saya dimaklumkan ada satu serbuan ke atas syarikat itu. Dalam fikiran saya tertanya-tanya juga soalan ‘adakah perkara ini semakin serius?’. Tapi mereka kata jangan risau sebab saya tidak terlibat apa-apa.
“Kemudian saya dapat mesej daripada orang tengah tersebut beritahu yang saya perlu ke SPRM untuk beri keterangan. Saya pun sendiri tak tahu transaksi syarikat mereka. Sebab tugas saya pun hanya diminta untuk promosi saja,” ujarnya.
Pada 6 Februari, Ziana, Jalaluddin Hassan dan Sheikh Muszaphar hadir ke SPRM Putrajaya untuk membantu siasatan dalam operasi Ops Sky.
Itu merupakan usaha SPRM menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan bersama pegawai bank di beberapa institusi kewangan. – UTUSAN