Tiada insiden pukul tahanan SOSMA di Penjara Sungai Buloh

Tiada insiden pukul tahanan SOSMA di Penjara Sungai Buloh

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan tiada insiden pukul membabitkan tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Penjara Sungai Buloh.

Menurutnya, perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Penjara yang menjalankan pemeriksaan susulan dakwaan berlakunya insiden itu.

“Saya terima laporan penuh itu dan insiden memukul itu tidak berlaku,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Anugerah Inovasi Pendaftaran Negara 2024 di sini hari ini.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan isteri kepada seorang tahanan SOSMA membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh, Selangor yang mendakwa suaminya dipukul.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis bagi melakukan siasatan terperinci kerana satu laporan polis telah dibuat mengenai perkara itu.

“Jika laporan sudah dibuat, kerja polis adalah menjalankan siasatan tetapi maklum balas segera daripada Ketua Pengarah Penjara memaklumkan tidak ada insiden (pukul) itu.

“Yang berlaku adalah insiden mogok (babit tahanan), bila mogok berhari-hari tidak ambil makanan dan tidak minum air. Fizikal badan pun rasa lemahlah. Jadi, bila dibawa ke hospital terpaksa bawa dengan wheel chair dan sebagainya.” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa kementeriannya dan Jabatan Penjara tidak akan menyembunyikan apa jua perkara dan membiarkan polis menjalankan siasatan.

Susulan tindakan mogok oleh ahli keluarga tahanan SOSMA di luar penjara itu, Saifuddin berkata, kertas siasatan mengenai perhimpunan itu telah dikategori sebagai ‘No Further Action’ (NFA).

Katanya, laporan penuh mengenai insiden juga telah dibawa ke pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada 9 Februari lalu, media melaporkan polis telah membuka kertas siasatan berhubung perhimpunan dan mogok lapar yang diadakan beberapa individu, dipercayai ahli keluarga tahanan di bawah SOSMA di hadapan Penjara Sungai Buloh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya