SEREMBAN: Tiada sebarang rombakan portfolio dalam kalangan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Sembilan setakat ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tiada cadangan mengenai perkara itu ketika ini malah beliau berpuas hati dengan prestasi yang telah ditunjukkan oleh kesemua ahli MMK terbabit.
“Cuma ada satu, dua ahli Exco yang baharu, bagi saya semua faham tentang tanggungjawab, mungkin pada tahun pertama, ada kekurangan sikit tetapi apabila memasuki tahun kedua saya nampak sudah ada kekuatan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Pada masa sama, Aminuddin menjelaskan, rombakan dalam kalangan ahli MMK tidak semestinya harus dilakukan bagi menguatkan pentadbiran.
“Kalau tukar selalu pun tidak boleh merancang, cuma teguran-teguran itu saya sampaikan. Kadangkala menerusi program saya tegur dan saya nampak tambah baik perlu ada, tidak semestinya terus tukar,” katanya.
Sementara itu, kata beliau, kerajaan negeri akan melancarkan Tabung Wakaf Negeri Sembilan pada bulan Ramadan akan datang untuk membantu membangunkan semula Gaza.
“Usaha ini akan dijalankan bersama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) yang mana kita minta supaya satu tabung khas yang dibuka kepada orang ramai untuk pembangunan semula Gaza.
“Tabung ini dibuat secara wakaf atau sedekah. Kita sasarkan sebanyak RM4 juta dan ini menunjukkan komitmen untuk menyediakan rumah untuk warga Palestin di Gaza. Jadi kita buat persiapan dulu dan membuka ruang kepada semua rakyat di negeri ini,”katanya. – UTUSAN