'Tiada bayaran untuk pencarum Skim Bencana Kerja, Penyakit Khidmat di klinik Perkeso'

‘Tiada bayaran untuk pencarum Skim Bencana Kerja, Penyakit Khidmat di klinik Perkeso’

STEVEN SIM CHEE KEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Pekerja yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kini tidak perlu membuat sebarang bayaran bagi mendapatkan rawatan di semua 1,400 klinik panel pertubuhan itu mulai tahun ini.

Bagaimanapun, kemudahan tersebut hanya terhad kepada pekerja yang layak menerima faedah di bawah Skim Bencana Kerja atau mereka yang mengalami Penyakit Khidmat yang berpunca daripada pekerjaan yang dilakukan buat masa ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, dengan adanya kemudahan itu, ia akan memudahkan pekerja khususnya mereka yang berpendapatan rendah untuk mendapatkan rawatan pada bila-bila masa sahaja.

“Dulu, kena bayar dahulu (kos rawatan), baru boleh ‘claim’ (buat tuntutan). Lebih kurang RM150 hingga RM200 juga untuk setiap kali rawatan.

“Tapi, selepas ini (mulai tahun ini) boleh terus ‘walk-in’ ke klinik kita (panel Perkeso). Tunjuk I.C (kad pengenalan) sahaja dan mereka (petugas klinik akan semak).

“Jika ahli Perkeso (yang berkenaan), maka, tak perlu bayar walaupun satu sen,” katanya ketika berucap sempena Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) di sini, malam tadi.

STEVEN Sim Chee Keong (tiga dari kiri) dan Chow Kon Yeow (tengah) pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) di Bukit Mertajam, Pulau Pinang malam tadi.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN

Hadir sama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal serta beberapa kenamaan lain.

Pada majlis itu, Steven turut menyerahkan tuntutan pelbagai faedah Perkeso termasuk Skim Perlindungan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dan sebagainya kepada 10 penerima dengan nilai keseluruhan sebanyak RM145,972.86.

Mengulas lanjut mengenai rawatan tanpa bayaran di klinik panel Perkeso, Steven berkata, selain memberi kemudahan kepada pekerja, langkah tersebut juga menyenangkan para majikan secara tidak langsung.

“Kadang-kadang, ada juga bos (majikan) yang baik hati dan terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membayar kos rawatan pekerja mereka.

“Selepas ini tidak perlu. Kita (Perkeso) sendiri yang akan bayar terus kepada klinik yang berkenaan,” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya