BUKIT MERTAJAM : Pekerja yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kini tidak perlu membuat sebarang bayaran bagi mendapatkan rawatan di semua 1,400 klinik panel pertubuhan itu mulai tahun ini.
Bagaimanapun, kemudahan tersebut hanya terhad kepada pekerja yang layak menerima faedah di bawah Skim Bencana Kerja atau mereka yang mengalami Penyakit Khidmat yang berpunca daripada pekerjaan yang dilakukan sahaja buat masa ini.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, dengan adanya kemudahan itu, ia akan memudahkan pekerja khususnya mereka yang berpendapatan rendah mendapatkan rawatan pada bila-bila masa sahaja.
“Dulu, kena bayar dahulu (kos rawatan), baru boleh claim (buat tuntutan). Lebih kurang RM150 hingga RM200 juga untuk setiap kali rawatan.
“Tapi, selepas ini (mulai tahun ini) boleh terus walk-in ke klinik kita (panel Perkeso). Tunjuk kad pengenalan sahaja.
“Jika ahli Perkeso (yang berkenaan), maka, tak perlu bayar walaupun satu sen,” katanya ketika berucap sempena Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) di sini, malam tadi.
Yang hadir sama, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal.
Pada majlis itu, Steven turut menyerahkan tuntutan pelbagai faedah Perkeso termasuk Skim Perlindungan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dan sebagainya kepada 10 penerima dengan nilai keseluruhan sebanyak RM145,972.86.
Mengulas lanjut mengenai rawatan tanpa bayaran di klinik panel Perkeso, Steven Sim berkata, selain memberi kemudahan kepada pekerja, langkah tersebut juga menyenangkan para majikan secara tidak langsung.
“Kadang-kadang, ada juga majikan yang baik hati dan terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membayar kos rawatan pekerja mereka.
“Selepas ini tidak perlu. Kita (Perkeso) sendiri yang akan bayar terus kepada klinik yang berkenaan,” ujar beliau. – UTUSAN