Thaipusam: 1,306 anggota polis ditugaskan sekitar Batu Caves - Utusan Malaysia

Thaipusam: 1,306 anggota polis ditugaskan sekitar Batu Caves

Konsert
HUSSEIN OMAR KHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Seramai 1,306 orang anggota polis ditugaskan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran sambutan Thaipusam di Kuil Batu Caves di sini Selasa depan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, anggota dari Bukit Aman, Kontinjen Selangor dan Kuala Lumpur serta beberapa kontinjen berhampiran akan diarahkan bertugas dari pukul 10 malam Sabtu sehingga perayaan tersebut selesai. 

Katanya, sebanyak tujuh jalan juga akan ditutup mengikut keadaan semasa bermula tengah malam 9 Februari.

“Jalan tersebut adalah Lampu Isyarat Kampung Melayu Batu Caves, susur dari arah Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) ke Kuil Batu Caves dan Jalan Perusahaan ke Kuil Batu Caves. 

“Jalan lain termasuklah susur MRR2 dari Sri Gombak ke Susur Perusahaan, Simpang 3 Jalan Seri Batu Caves (SBC) 8/ Jalan Batu Caves Lama, Simpang Tiga Lampu Isyarat SBC hadapan stesen minyak Shell dan Jalan Susur Batu Caves ByPass Menghala ke Pintu Utama Kuil Batu Caves,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Op Palu sempena Thaipusam di Kuil Batu Caves di sini, hari ini. 

Tambah Hussein, orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif yang akan dikemas kini di platform media sosial Polis Daerah Gombak. 

Mengulas lanjut, beliau turut menasihatkan pengunjung yang membawa kenderaan sendiri ke Kuil Batu Caves agar meletakkan kenderaan mereka di kawasan yang dibenarkan dan memastikan kenderaan mereka dikunci.

“Kawasan kuil ini juga merupakan kawasan larangan penerbangan dron, pihak yang hendak menerbangkan dron hendaklah membuat permohonan dan mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya