TH, MAB meterai perjanjian penerbangan khas haji sehingga 2029

TH, MAB meterai perjanjian penerbangan khas haji sehingga 2029

TABUNG HAJI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) menandatangani perjanjian lima tahun dengan Malaysia Airlines Berhad (MAB) sehingga 2029 bagi menyediakan perkhidmatan penerbangan khas untuk jemaah haji Malaysia.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, perkhidmatan penerbangan khas haji itu akan diuruskan oleh penyedia penerbangan umrah dan haji, Amal by Malaysia Airlines bermula bagi musim haji tahun ini.

“Kerjasama berterusan kedua-dua syarikat adalah hasil prestasi cemerlang daripada Amal by Malaysia Airlines yang membuktikan dedikasi serta keupayaan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji di negara ini.

“Kecekapan dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh Amal by Malaysia Airlines dalam memastikan perjalanan haji berjalan lancar serta perhatian teliti yang diberikan terhadap keselesaan dan kesejahteraan jemaah haji negara menjadi pendorong utama pemilihan syarikat itu sebagai penyedia penerbangan sewa khas haji bagi lima tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini

Turut hadir pada majlis menandatangani perjanjian penerbangan khas haji itu ialah Ketua Jabatan Haji TH, Mohd Hisham Harun, Ketua Pegawai Operasi Amal by Malaysia Airlines, Muhammad Najmi Mansor

Dalam pada itu, Syed Hamadah turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap prestasi cemerlang Amal by Malaysia Airlines, yang mencapai rekod penilaian prestasi memberangsangkan sebanyak 98 peratus pada musim haji sebelum ini.

Muhammad Najmi pula berkata, syarikat penerbangan itu kekal komited dalam menyediakan perkhidmatan penerbangan yang selamat dan lancar dalam memastikan jemaah dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna.

“Sejak penubuhan Amal pada 2019, perkhidmatan diberikan untuk menyantuni dhuyufurrahman’ ini menjadi matlamat utama bagi kami.

“Menguruskan perjalanan jemaah haji negara adalah satu penghormatan yang amat kami banggakan dan kami terus komited untuk meningkatkan mutu perkhidmatan bagi memberikan pengalaman yang terbaik kepada bakal-bakal haji pada musim ini dan musim akan datang,” katanya.

Pada musim haji kali ini, sebanyak 50 peratus daripada jumlah keseluruhan 31,600 jemaah haji Malaysia akan diterbangkan terus oleh Amal by Malaysia Airlines secara berperingkat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah dan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz, Madinah.

Penerbangan ke tanah suci bermula 29 April hingga 20 Mei ini, manakala penerbangan pulang dari 14 Jun hingga 10 Julai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya