KUALA NERUS: Persiapan Terengganu FC (TFC) menghadapi cabaran Kuching City FC dalam saingan Liga Super malam ini terjejas berikutan kehilangan pemain import, Nurillo Tukhtasinov kerana penggantungan manakala Muhammad Akhyar Abdul Rashid menghadapi masalah kesihatan.
Ketua Jurulatih TFC, Badrul Afzan Razali berkata, kehilangan dua pemain tersebut memberi kesan persiapannya berhadapan Kuching City FC dan terpaksa melakukan rombakan pada kesebelasan utama.
Menurutnya, perlawanan itu penting dan wajib menang dalam aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak.
“Mengikut perancangan bersama pasukan kejurulatihan, saya mungkin menurunkan Akram (Muhammad Akram Mahinan) di posisi Tukhtasinov dan Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob di tempat Akhyar,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Badrul Afzan mengingatkan anak buahnya supaya tidak mengulangi kesilapan yang mengakibatkan mereka hilang tiga mata berharga ketika berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi sama minggu lalu.
“Kita tak boleh terus kehilangan mata jika mahu mencabar kedudukan Sabah FC di tempat ketiga. Saya harap pemain lebih fokus dan tidak membuat kesilapan mudah yang menyebabkan kita dihukum di tempat sendiri,” katanya. – UTUSAN