Tergamak lempang anak, ibu ditahan

Tergamak lempang anak, ibu ditahan

SEORANG pekerja kantin (dua dari kiri) dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman berhubung kes menampar anaknya di hadapan sebuah pasar raya di Kompleks Mahkamah Kangar, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Polis menahan seorang wanita yang menampar anaknya berusia lima tahun sehingga menyebabkan kecederaan pada kanak-kanak itu di hadapan sebuah pasar raya di Jejawi, di sini semalam.

Pekerja kantin berusia 38 tahun itu ditahan di sebuah bilik sewa di Jejawi selepas tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai dari pasar raya berkenaan yang menunjukkan dia beberapa kali menampar anaknya sehingga jatuh dan mengenai bucu bangku di hadapan pasar raya tersebut.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, suspek ditahan di sebuah bilik sewa selepas menerima laporan daripada pengadu kira-kira pukul 12.16 pagi.

Katanya, pengadu membuat laporan itu susulan penularan klip berkenaan di media sosial yang memaparkan seorang wanita memukul bahagian belakang kepala seorang kanak-kanak perempuan sehingga terhantuk di bucu bangku dan berdarah.

“Kejadian tersebut disyaki berlaku di hadapan kaki lima sebuah pasar raya di Jejawi dan tujuan pengadu membuat laporan polis adalah untuk siasatan serta tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Ahmad Mohsin berkata, ibu kepada dua anak itu direman enam hari bagi membantu siasatan mengikut 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Katanya, perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Ana Rozana Mohd bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan berhubung kes itu.

“Kanak-kanak berusia lima tahun yang masih belum bersekolah itu juga mengalami luka berjahit di bahagian kening sebelah kanan akibat kejadian itu. Siasatan lanjut akan dijalankan selepas ini berhubung kes tersebut,” katanya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya