KUALA TERENGGANU: Syarikat pelaburan milik kerajaan negeri, Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc.), menyalurkan bantuan sebanyak RM40,000 untuk 150 anak asnaf dalam Program Kembali Ke Sekolah 2025.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, bantuan tersebut merangkumi pakaian uniform, beg dan alat tulis bernilai RM250 untuk setiap pelajar.
“Bantuan ini diharap dapat membantu meringankan beban kewangan ibu bapa dari golongan asnaf dan kurang berkemampuan menjelang sesi persekolahan baharu tidak lama lagi.
“Terengganu Inc. terus memperkasa peranan membantu komuniti melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam bidang pendidikan,” katanya selepas menyampaikan bantuan itu di Sekolah Kebangsaan Atas Tol, di sini hari ini.
Menurutnya, sepanjang tahun lalu, Kumpulan Terengganu Inc. memperuntukkan sebanyak RM12.02 juta CSR dalam bidang pendidikan, sukan, komuniti, agama dan alam sekitar.
“Selain itu, kami menawarkan bantuan pendidikan seperti biasiswa YT-TI Young Talent Scholarship yang diperkenal mulai 2022 sehingga kini dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta dalam tempoh tersebut melalui kerjasama dengan Yayasan Terengganu.
“Terengganu Inc. juga menawarkan Biasiswa Tunas Scholar dengan kerjasama Yayasan Pelajaran Maidam, Kolej Universiti Bestari (UCB) serta KMI Medical Centre dengan peruntukan sebanyak RM1.3 pada tahun lalu,” katanya. – UTUSAN