Ketika negara sedang menuju ke arah era pembangunan moden yang berteraskan kepada sains dan teknologi, maka sebarang elemen yang menampakkan kemunduran dalam pelajaran atau pendidikan sewajar dianggap isu yang serius. Ini kerana kualiti tahap pemilikan akademik bakal pekerja menjanjikan harapan besar dalam membina kehidupan yang lebih cerah.
Jadi, adalah suatu yang sangat mengecewakan apabila lebih 8,000 calon Sijil Pelajar Malaysioa (SPM) yang lalu tidak hadirkan diri untuk menduduki kesemua kertas subjek dalam peperiksaan tersebut.
Hal seumpama ini juga dapat kita anggap sebagai satu bencana besar yang bakal menggugat harapan negara untuk melihat semua anak bangsa memperoleh pelajaran yang mencukupi bagi mengharungi liku-liku kehidupan pada masa akan datang.
Semua pihak baik Kementerian Pendidikan, guru mahu pun golongan ibu bapa tidak boleh menganggap isu keciciran pelajaran sebagai suatu isu remeh-temeh yang sekadar isu terpencil sahaja.
Sesungguhnya, generasi muda hari ini adalah modal insan negara untuk masa mendatang. Baik buruk generasi muda pada hari ini adalah cerminan senario negara pada masa akan datang.
Justeru, langkah menangani isu keciciran pelajaran sama murid yang tidak hadir peperiksaan mahu pun murid yang masih gagal untuk menguasai tiga M iaitu membaca, menulis dan mengira, memerlukan tindakan bersepadu semua pihak.
Kesungguhan Kementerian Pendidikan, komitmen para pendidik, dan kecaknaan ibu bapa seharusnya dipadukan agar isu-isu sebegini dapat di atasi. Negara kita masa kini sedang rancak menggerakkan visi sebagai sebuah negara yang rakyatnya tidak skeptikal dengan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan tidak anti kepada pendidikan bersendikan Sains Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Jadi, kelompongan dalam memiliki ilmu pengetahuan pastinya memungkinkan gangguan terhadap niat murni negara itu.
Usaha sama secara libat urus bersepadu sangat diperlukan demi menjadikan mutu pendidikan diperoleh secara merata dalam kalangan murid tanpa mengira batas status sosial dan geografi.
Kepada golongan pendidik, usaha membendung keciciran dalam pelajaran perlu dianggap sebagai satu usaha jihad yang memerlukan tahap kesungguhan, pengorbanan masa dan tenaga. Ia tidak boleh sekadar melepas batuk di tangga sebaliknya sewajar bergerak secara sedar bahawa masa depan generasi muda hari ini terletak di pundak bahu mereka. – UTUSAN
Raja Nazim Raja Abdullah ialah Pensyarah Kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)