KUALA LUMPUR: Tatkala sibuk membintangi drama bersiri, pelakon, Ummi Nazeera bersama suaminya, Dr. mohd Izzar Anwari kini menjadi wajah utama sebuah jenama barangan kemas terkenal, Habib bagi koleksi Aidilfitri tahun ini.
Menurut Ummi, dirinya sangat teruja apabila mendapat lamaran dari pihak jenama itu meskipun tawaran tersebut hadir ketika dia sibuk menjalani penggambaran beberapa drama.
“Pihak Habib telah hubungi saya sejak saya menjalani penggambaran drama Andai Tiada Dia lagi. Jadi, terdapat beberapa terma dan syarat yang saya letakkan dan akhirnya dipersetujui kedua-dua belah pihak.
“Alhamdulillah, akhirnya saya bersama suami dan anak sulung kami menjadi duta Rantaian Kasih 2025. Bukan itu sahaja, saya amat teruja bila dilamar sebagai duta memandangkan mas kahwin saya pun dari Habib,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ummi berkata demikian ketika ditemui pada majlis Rantaian Kasih Di Aidilfitri 2025 yang mempamerkan koleksi barangan kemas terbaharu Habib di EQ Kuala Lumpur, pada Rabu.
Terbuka mengheret anak sulungnya, Ayra Aneesah menjadi wajah jenama barangan kemas itu, Ummi mengakui dia menerima tawaran tersebut demi memenuhi kehendak tema koleksi pada tahun ini iaitu, wau.
Katanya lagi, dia tetap mendapatkan persetujuan puteri sulungnya terlebih dahulu sebelum menerima tawaran untuk bekerjasama dengan jenama tersebut agar memudahkan urusan semua pihak.
“Jarang sekali saya mahu membenarkan anak saya untuk terlibat dalam kempen seperti ini. Tetapi disebabkan temanya kekeluargaan, itu yang membuatkan saya bersetuju untuk menjadi sebahagian dari Habib.
“Anak saya juga sangat suka dengan barang kemas. Saya juga dapatkan persetujuan dia terlebih dahulu sebelum melakukannya. Alhamdulillah, dia terima. Dia juga sangat teruja cuma dia tidak tunjuk,” jelasnya.
Ditanya mengenai keterbukaan terhadap penglibatan anak-anak dalam industri seni, pelakon drama Andai Tiada Dia itu mengakui dia lebih utamakan pelajaran serta keseimbangan masa puteri kesayangannya.
“Anak sulung saya baru sahaja masuk sekolah pada 17 hari bulan lalu, jadi saya amat titik beratkan keseimbangan masanya.
“Sekiranya mempunyai sebarang tawaran melibatkan pengiklanan dan sebagainya, itu bergantung kepada komitmennya pada ketika itu kerana pelajaran harus saya utamakan.
“Kalau adiknya mungkin boleh kerana saya hanya hantar dia ke ‘play-school’. Jadi, tiada masalah sekiranya dia ponteng sekalipun,” ujarnya.