Tempoh menunggu di klinik kerajaan dikurang dari tiga jam ke 30 minit

Tempoh menunggu di klinik kerajaan dikurang dari tiga jam ke 30 minit

Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tempoh menunggu bagi mendapatkan perkhidmatan rawatan di klinik kerajaan berjaya dikurangkan dari tiga jam kepada hanya 30 minit.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kejayaan itu susulan agenda transformasi digital yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan di sektor kesihatan awam.

“Kita sudah pun mendigitalisasikan perkhidmatan utama, mengurangkan waktu menunggu di klinik penjagaan primer utama dari tiga jam kepada hanya 30 minit.

“Bermula dengan 107 klinik pada 2007 hingga 2022 kepada 159 klinik pada 2024 hingga Februari tahun ini. Peningkatan sebanyak 48.6 peratus,” katanya dalam ciapan di laman sosial X, semalam.

Dr. Dzulkefly juga bertekad untuk meneruskan agenda mendigitalisasikan sektor perkhidmatan kesihatan awam membabitkan klinik kerajaan pada tahun ini.

“Tahun 2025 adalah tahun pelaksanaan, masa untuk menunaikan janji,” katanya.

Pada Disember 2023 ketika mula menjawat jawatan Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly meletakkan komitmen untuk melakukan beberapa transformasi melibatkan digital dalam sektor kesihatan.

Beliau berkata, perkara itu berkaitan sistem perubatan Elektronik (EMR) serta perbelanjaan sektor kesihatan terutama dalam menyelesaikan permasalahan asas di hospital dengan menanganinya menggunakan polisi tepat.

Pada sidang Dewan Rakyat pada Mac tahun lalu, beliau memaklumkan transformasi digital itu akan membabitkan semua fasiliti kesihatan di seluruh negara dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang.

Katanya, pelaksanaan transformasi menerusi strategi ‘satu individu satu rekod’ itu akan dimulakan dengan penggunaan rekod perubatan elektronik (EMR) di setiap fasiliti kesihatan yang terlibat.

Kerajaan juga akan melaksanakan kajian pemetaan keseluruhan struktur kesihatan digital negara serta menambah baik strategi sedia ada bagi memastikan pelaksanaan yang lebih pantas dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan lebih komprehensif dan berkualiti kepada rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya