KLANG: KLANG: Seorang penjenayah dikenali ‘Ah Boy’ yang terlibat dalam kes tembakan di pusat beli-belah di Setia Alam, 8 Februari lalu didapati turut melakukan lima kes jenayah lain selepas kejadian itu.
Lelaki berusia 30-an itu bergerak secara solo dengan menggugut pemandu e-hailing dan pemandu lori dengan cara mengacukan pistol ala satu permainan video terkenal.
Sepanjang 10 hari diburu, suspek melakukan kes ugutan, samun, pecah rumah dan curi kenderaan dengan bersembunyi di Melaka, Banting dan daerah ini bagi mengelak dicekup.
Kegiatan haram suspek yang turut dikehendaki polis dalam 15 kes jenayah berakhir selepas maut dalam insiden berbalas tembakan di sebuah hotel di Pulau Ketam di sini, kira-kira pukul 3 pagi semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati suspek yang aktif melakukan jenayah sejak 2014 itu secara berkumpulan sebelum bergerak bersendirian tahun lalu.
Katanya, selepas kes tembakan di Setia Alam, suspek yang tiada kenderaan sendiri mengugut beberapa pemandu untuk membawanya ke lokasi dituju.
“Lelaki yang berasal dari Klang itu melarikan diri ke Melaka dan tinggal selama lima hari sebelum turut bersembunyi di sekitar Banting.
“Dalam kes terakhir kelmarin, suspek mengugut seorang pemandu untuk melakukan kes pecah rumah di Sabak Bernam sebelum menyewa bilik sebuah hotel di Pulau Ketam,” katanya pada sidang akhbar di Jeti Pulau Ketam, Pelabuhan Klang di sini semalam.
Menurut Hussein, bertindak atas hasil maklumat, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Bukit Aman mengesan suspek.
“Suspek ditembak mati selepas berlaku kejadian berbalas tembakan dengan polis di dalam sebuah bilik hotel.
“Pemeriksaan turut menemukan dua pucuk pistol berserta peluru yang digunakan suspek untuk melakukan jenayah,” katanya.
Tambah beliau, oleh itu, pihaknya berjaya menyelesaikan 15 kes jenayah termasuk samun kedai emas di Kajang, Klang dan beberapa lokasi lain.
“Semakan mendapati suspek juga pernah dipenjara sebanyak dua kali atas kesalahan samun sebelum ini.
“Orang ramai kini tidak perlu lagi risau kerana kita telah berjaya menyelesaikan kes dilakukan suspek termasuk insiden tembakan di pusat beli-belah sebelum ini,” katanya.
Mayat suspek yang dibawa melalui Jeti Pulau Ketam, kira-kira pukul 12 tengah hari itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi proses bedah siasat.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan polis mengesahkan suspek yang menembak pekerja pembersihan di pusat beli belah itu turut mengugut pengunjung lain memandu keluar bagi meloloskan diri.
Suspek kemudian meminta diturunkan di tepi jalan kawasan sebuah lebuh raya lalu menghilangkan diri. – UTUSAN