BULAN kedua tahun 2025 telah pun membuka tirai, kerjaya pelakon, Syafiq Kyle semakin rancak menempa tempat dalam industri seni tanah air.
Menurut Syafiq, dia tidak menjangka pembuka tirai tahun 2025 ini membuatkan rezekinya melimpah selepas sudah berusaha keras pada tahun lalu.
“Alhamdulillah, saya ada perancangan tetapi perancangan Tuhan itu lebih baik.
“Setiap drama yang keluar pada tahun ini kebanyakannya saya telah usahakan sejak tahun lalu,” katanya.
Kata Syafiq, pencapaian yang dikecapinya setakat ini masih terlalu kecil untuk diraikan memandangkan dia mempunyai tujuan dan perancangan lebih besar untuk dicapai pada tahun ini.
“Saya rasa kejayaan ini masih kecil lagi untuk permulaan tahun ini. Akan ada lagi benda yang lebih besar yang ingin saya capai sepanjang tahun ini.
“Doakan saya semoga diberi tenaga, jalan yang dipermudahkan, masa yang cukup dan jadual yang baik untuk saya bekerja,” jelasnya.
Setakat ini, Syafiq telah membintangi dua drama bersiri iaitu One Cent Thief Musim Kedua terbitan Astro dan Gadis Masa terbitan Viu.
SELEKTIF DALAM MEMILIH NASKHAH?
Jarang dilihat muncul di kaca televisyen (TV) akangan ini, kerjaya pelakon yang berusia 33 tahun itu lebih menyinar ketika membintangi drama bersiri terbitan platform Over-The-Top (OTT)
“Bermula tahun 2018, kita dilambakkan dengan OTT yang memberikan kandungan premium.
“Jadi, saban tahun industri ini semakin berkembang dengan kemunculan bakat baru.
“Saya rasa mungkin kerap dilihat di OTT atas dasar tawaran yang saya terima. Bukan tiada tawaran dari stesen televisyen, ada tetapi kekangan masa dan kebanyakannya ditawarkan pada saat akhir.
“Produksi TV hanya hubungi beberapa minggu sebelum. Tetapi kalau OTT mereka punya persiapan dalam dua atau tiga bulan sebelum. Mungkin masa yang membuatkan saya jarang kelihatan di kaca TV,” katanya.
Ditanya sama ada dirinya kini semakin selektif untuk membintangi sesebuah naskhah, Syafiq memberitahu dia selesa untuk meneliti beberapa perkara terlebih dahulu sebelum menerima sesebuah tawaran lakonan.
“Alhamdulillah, saya tidak boleh begitu selektif. Industri di sini terlalu kecil. Saya juga tidak lupakan minat saya dalam dunia lakonan.
“Apa yang boleh dikatakan itu lebih kepada untuk kelangsungan hidup. Saya hanya memilih dari segi skrip, watak, pengarah dan produksi, itu sahaja.
“Sekiranya watak yang ditawarkan sama seperti apa yang saya pernah bawakan, saya akan pertimbangkan kerana takut itu membosankan penonton pula. Bukannya apa, saya perlu pertahankan kerjaya saya,” ujarnya. -UTUSAN