PADANG BESAR: Tart nanas dan semperit antara sajian popular dan wajib setiap kali Hari Raya Aidilfitri.
Bersempena Aidilfitri tahun ini, buat pertama kali sebuah syarikat pemula Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis, Athanliz Innovation Sdn. Bhd. (AISB) mencipta kelainan dengan menghasilkan kuih berkenaan berasaskan mempelam harumanis.
Pengarah Urusan AISB, Dr. Athifah Najwani Shahidan berkata, menerusi inovasi itu, pihaknya menghasilkan enam jenis kuih raya berasaskan buah ikonik negeri ini untuk dikomersialkan kepada orang ramai.
Katanya, selain tart dan semperit harumanis, mereka juga menghasilkan soft cookies harumanis, cornflakes harumanis, almond london harumanis dan harumanis spread.
“Kita cuba untuk mengkomersialkan produk berasaskan buah mempelam harumanis ini secara meluas menerusi inovasi kuih raya ini dan merupakan kali pertama dihasilkan menjelang Aidilfitri,” katanya di sini semalam.
Athifah Najwani berkata, penghasilan kuih berkenaan adalah menggunakan ekstrak buah mempelam harumanis yang dihasilkan dalam bentuk serbuk melalui proses pengeringan.
Katanya, walaupun kuih yang dihasilkan itu dibakar dalam suhu panas, ekstrak berkenaan masih dapat mengekalkan keharuman buah mempelam tersebut.
“Kita telah melakukan proses pembangunan dan penyelidikan (R&D) selama dua tahun bagi mencari formula untuk mengekalkan keharuman buah ini walaupun dibakar pada suhu panas,” katanya.
Athifah Najwani berkata, AISB juga bekerjasama dengan dua usahawan negeri ini dan Dewan Perniagaan, Perindustrian dan Pelaburan Malaysia-China-Acheh bagi memasarkan kuih berkenaan di seluruh negara.
“Harga bagi kuih itu juga berpatutan antara RM15 hingga RM17 mengikut jenis. Kita sasar dapat jual semua jenis kuih ini secara keseluruhan sebanyak 50,000 pada musim perayaan kali ini,” katanya.
Sementara itu, AISB juga telah berjaya menghasilkan sebanyak 30 produk berasaskan mempelam harumanis terdiri makanan, minuman dan nutri kosmetik.
Produk-produk inovasi itu berjaya menempa nama di pameran dan pertandingan antarabangsa antaranya festival makanan di Paris, Perancis, Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu dan India. – UTUSAN