KUALA LUMPUR: Perdana Menteri memaklumkan tarif elektrik kekal dinaikkan menjelang separuh kedua tahun ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bersedia mempertimbangkan pandangan pelbagai pihak walaupun mengakui langkah itu adalah mencabar untuk dilaksanakan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan bagaimanapun menafikan tarif asas elektrik di Semenanjung Malaysia akan meningkat 14 peratus.
“Seperti yang anda maklum, kajian semula setiap enam bulan adalah berdasarkan harga semasa. Jadi, saya tidak fikir ia akan menjadi sesuatu yang terlalu membebankan atau merugikan masyarakat.
“Semakan perlu dibuat memandangkan kenaikan kadar tarif elektrik perlu berlaku, berpandukan kapasiti dan harga pada tempoh tertentu.
“Pada saya, keputusan itu adalah sesuatu yang perlu dilakukan dan harganya perlu dinaikkan,” katanya semasa berucap pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sini hari ini.
Tahun lalu, Anwar berkata, kerajaan sedang mengambil langkah bagi memastikan sebarang kenaikan tarif elektrik tidak membebankan rakyat.
Tarif asas elektrik di Semenanjung Malaysia akan dinaikkan sebanyak 14.2 peratus kepada 45.62 sen setiap kilowatt-jam (kWh), bersama dengan jadual tarif baharu bermula Julai depan, menurut Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Perubahan itu akan berlaku di bawah Tempoh Peraturan 4 (RP4) selama tiga tahun yang akan berkuat kuasa dari Januari 2025 hingga Disember 2027. – UTUSAN