JOHOR BAHRU: Kerajaan tidak berhasrat menetapkan tarif air di seluruh negara kerana penetapan harga dibuat kerajaan negeri masing-masing berdasarkan kos operasi pihak operator terlibat.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir bagaimanapun berkata, pihaknya akan memantau penetapan tarif tersebut bagi memastikan kosnya mampu milik.
Menurut beliau, antara faktor yang perlu dilihat termasuk kemampanan bekalan air di sesebuah negeri berkenaan.
“Kementerian menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sentiasa memantau dan menyelaras penetapan tarif air dalam negara, di mana ia berbeza mengikut keperluan di setiap negeri.
“Setakat ini tarif air masih bergantung kepada kadar negeri kerana hanya rangkaian bekalan elektrik kita yang bersambung di seluruh negara, sementara bekalan air mengikut kawasan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Parlimen Johor Bahru Sempena Tahun Baharu Cina di Taman Sri Tebrau, di sini hari ini.
Akmal Nasrullah yang merupakan Ahli Parlimen Johor Bahru turut memberitahu, penetapan tarif air oleh kerajaan negeri dibuat selepas operator air mengemukakan perancangan perbelanjaan operasi dan perbelanjaan modal mereka.
Tambahnya, penetapan harga yang berpatutan dan munasabah perlu bagi memastikan tiada gangguan bekalan air dihadapi penduduk di sesuatu kawasan.
“Kalau kadar itu rendah tetapi bekalan air tiada akan menimbulkan isu juga, jadi kadar itu perlu munasabah dengan mengambil kira aspek keterjaminan bekalan air kepada semua kawasan,” ujarnya. – UTUSAN