KEMAMAN : Seekor tapir betina dewasa seberat kira-kira 200 kilogram ditemuikan mati di tepi jalan, dipercayai dirempuh kenderaan berhampiran Kampung Paman, di sini, hari ini.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan bangkai hidupan liar itu kira-kira pukul 9.30 pagi.
“Pemeriksaan mendapati terdapat kesan kecederaan di bahagaian badan dan kepala tapir itu. Tapir ini mungkin keluar dari hutan berhampiran dan mati dilanggar kenderaan,” katanya hari ini.
Sementara itu, salah seorang penduduk Muhammad Alif Haziq Ghani, 24, berkata, dia yang melalui jalan itu untuk ke Bandar Chukai terkejut melihat bangkai tapir itu di atas jalan.
“Pada awalnya saya ingatkan kerbau atau lembu yang mati dilanggar, bila didekati saya dapati haiwan itu adalah tapir,” katanya. – UTUSAN