KUALA SELANGOR: Tindakan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) meletakkan kira-kira 10 kain rentang makluman larangan pembuangan sampah tidak diendahkan para pekerja tapak haram itu.
Tinjauan mendapati PBT itu meletakkan kain rentang makluman larangan pembuangan sampah dekat beberapa laluan masuk ke kawasan tanah tambak yang dijadikan tapak pelupusan sampah.
Namun, larangan tersebut tidak dipedulikan oleh pemandu lori tong roll on roll off (roro), pekerja ataupun pengusaha di kawasan berkenaan apabila masih lagi melakukan aktiviti pelupusan sisa binaan, industri dan domestik di sana.
Menurut seorang peniaga di kawasan tersebut, meskipun diuar-uarkan di akhbar baru-baru ini, masih terdapat aktiviti lori keluar dan masuk di kawasan berkenaan tanpa mengira waktu, hari bekerja atau hujung minggu.
“Masih aktif dan saya terpaksa meletakkan batu di sempadan untuk memastikan kawasan kedai tidak terjejas atau turut diletakkan sampah oleh pekerja-pekerja berkenaan.
“Meskipun diletakkan papan tanda larangan, selain lori, jengkaut dan pekerja-pekerja tetap melakukan kerja pelupusan sampah di kawasan tersebut dan mendakwa ia sebagai pengasingan barangan kitar semula,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Terdahulu, kawasan tapak pelupusan sampah haram dekat Kampung Sri Sentosa, Ijok yang terletak di Jalan Sungai Buloh – Kuala Selangor dilaporkan semakin melebar daripada 20 hektar kepada lebih 52 hektar.
Malah, tapak pelupusan itu dilihat bersembunyi di sebalik aktiviti tambak tanah dengan meletakkan sampah di bahagian belakang dan tanah di depan dekat kawasan yang sebelum ini dilaporkan kerap berlaku banjir.
Bagaimanapun, MPKS dalam kenyataannya sebelum ini memberitahu, pihaknya bersama Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor mengeluarkan 28 notis rampas kepada pemilik yang membenarkan tanah mereka dijadikan tapak pelupusan sampah.
Dalam masa sama, hukuman lebih berat terhadap individu yang melupuskan sisa atau atau menjadikan sesuatu kawasan sebagai tapak pelupusan sampah haram perlu dilaksanakan bagi mengekang perkara tersebut daripada berulang.
Ini kerana undang-undang dan hukuman sedia ada didakwa terlalu ringan dan tidak lagi relevan atau mampu melarang mana-mana pihak melakukan kesalahan berkenaan.
Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia, N. Rajesh berkata, hukuman yang dikenakan terutama di peringkat pihak berkuasa tempatan tidak bersifat mencegah sehingga banyak kawasan dijadikan tapak pelupusan sampah haram.
Menurutnya, hukuman mesti bersifat deterrent dan memberi pengajaran kepada masyarakat supaya tidak melupuskan sampah dengan sewenang-wenangnya.
“Sebagai contoh seperti hukuman denda RM2,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali yang dimaklumkan oleh Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) itu tidak lagi relevan dan tidak akan menghalang perkara sama daripada berulang.
“Denda perlu dinaikkan kepada minimum RM1 juta dan penjara mandatori minimum dua tahun mesti dikenakan kepada pihak tidak bertanggungjawab menunjukkan kerajaan amat bertegas soal kebersihan dan kelestarian alam sekitar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. – UTUSAN