BERA: Lebih 3,000 masyarakat Orang Asli suku Semelai dari 14 buah kampung yang mendiami sekitar Tasik Bera di sini, perlu dilibatkan dalam program pemulihan dan pemuliharaan tasik semula jadi terbesar negara itu.
Selama lebih 600 tahun, etnik Semelai adalah puak Orang Asli yang menghuni sekitar Tasik Bera dan bergantung kepada sumber-sumber semula jadi di tasik itu yang diwartakan sebagai Tapak Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) pertama Malaysia pada 1995.
Tapak Ramsar Tasik Bera merupakan talian hayat kepada kira-kira 15 peratus daripada lebih 3,000 penduduk etnik itu demi kelangsungan hidup seperti hasil hutan berdekatan dan sumber ikan.
Batin Pos Iskandar, Norya Abas, 54, menyokong program perlindungan, pemulihan dan pemuliharaan Tapak Ramsar Tasik Bera.
Beliau memohon supaya semua aktiviti perlindungan dan pemuliharaan perlu melibatkan komuniti Semelai dan tidak menjejaskan aktiviti kehidupan harian etnik terbabit serta hak mereka sebagai penghuni asal tasik semula jadi tersebut.
“Semua kerjasama dengan komuniti Semelai perlu juga digembeling untuk mencapai hasrat bersama. Masyarakat orang asli etnik Semelai secara tradisi memang mengamalkan budaya kelestarian. Kami percaya kelestarian dan kestabilan ekosistem Tasik Bera penting untuk kehidupan seharian kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ahad lalu, Mingguan Malaysia, melaporkan Tasik Bera di ambang kerosakan dan ekosistem semula jadi berharga itu perlu dipulihkan untuk memastikan ia tidak lenyap dari peta alam sekitar negara.
Usaha itu juga bagi memastikan tasik semula jadi itu tidak ‘nazak’ dan musnah keseluruhan ekosistemnya seperti Tasik Chini.
Norya berkata, kebergantungan kepada sumber semula jadi tumbuhan dan haiwan untuk makanan, kegunaan harian dan kraf tangan mengajar mereka untuk menjaga keseimbangan ekologi dan memanfaatkan sumber alam dengan bijak.
“Kami bergantung kepada sumber ikan untuk makanan harian. Bilangan tangkapan mengikut keperluan, jenis ikan, musim menangkap ikan dan tempat menangkap ikan semua diambil kira bagi menjamin kelestarian populasi ikan.
“Kami juga menggunakan kaedah tradisional untuk menangkap ikan dan begitu sensitif dengan aktiviti yang boleh mengganggu habitat ikan dan organisma akuatik lain,” katanya.
Menurutnya, bagi mengurangkan kebergantungan kepada tasik, masyarakat juga perlu ada menjalankan aktiviti lain seperti mengusahakan madu kelulut, kraf tangan dan menoreh getah.
“Dua perkara penting orang Semelai perlukan iaitu pendidikan dan peningkatan ekonomi dalam membantu pemuliharaan Tasik Bera,” ujarnya. – UTUSAN